Gambar hiasan

SINGAPURA- Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) memasukkan Malaysia, Singapura dan Vietnam ke dalam senarai pemantauan bagi manipulasi mata wang sekali gus meletakkan dasar tukaran wang asing negara-negara berkenaan dalam pemerhatian ketat.

Menurut Perbendaharaan AS, Singapura dimasukkan ke dalam senarai tersebut disebabkan lebihan akaun semasa yang besar dan pembelian mata wang asing bersih sekurang-kurangnya AS$17 bilion pada 2018, bersamaan dengan 4.6 peratus Keluaran Dalam Negara Kasarnya (KDNK).

Malaysia pula dimasukkan ke dalam senarai berikutan lebihan dagangan dengan AS sebanyak AS$27 bilion tahun lepas di samping melakukan intervensi matawangnya.

Manakala Vietnam pula adalah disebabkan akaun semasa yang besar dan lebihan dagangan dua hala.

Dilabelkan sebagai pemanipulasi matawang tidak akan dikenakan penalti secara serta-merta tetapi ia boleh menjejaskan pasaran kewangan.

Bank Negara Malaysia berkata, negara ini menyokong perdagangan bebas dan adil dan tidak mengamalkan amalan matawang yang tidak adil.

Tambah bank pusat, tersenarai dalam senarai pemantauan oleh Perbendaharaan AS itu tidak memberi kesan kepada ekonomi Malaysia.

“Kadar tukaran ringgit ditentukan oleh pasaran dan tidak bergantung kepada daya saing eksport,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, pakar ekonomi NH Investment & Securities di Seoil, Kim Hwan berkata, ketegangan AS-China mungkin memainkan peranan dalam langkah yang diambil oleh Perbendaharaan itu.

Katanya, meletakkan Singapura, Vietnam dan Malaysia ke dalam senarai menunjukkan “AS secara terus-menerus mahu memberi tekanan kepada China.”

“Negara-negara ini adalah kesemua negara di Asia Tenggara yang mempunyai hubungan ekonomi rapat dengan China,” katanya.- MalaysiaGazette