Presiden Parti BERJASA, Datuk Badhrulhisham Abdul Aziz bercakap pada sidang media mengenai parti tersebut akan mengumumkan penyertaan dalam Pilihan Raya Kali Ke- 15 (PRU15) di Hotel Tenera Bangi, Bandar Baru Bangi, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 29 MEI 2019

BANGI – Barisan Jemaah Islamiah Semalaysia (Berjasa) mengumumkan akan bertanding dalam skala yang besar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presidennya, Datuk Dr. BadhrulHisham Abdul Aziz berkata, parti itu akan menumpukan negeri-negeri pantai barat semenanjung pada PRU berkenaan.

Menurutnya, Berjasa akan tampil dengan semangat mengulangi seruan kesepakatan orang Melayu dan Bumiputera dengan slogan “Calon Muslim Berwibawa” yang dilancarkan pada PRU13 yang lalu.

“Berjasa amat berbangga dengan peranan mempelopori seruan kesepakatan itu, pada ketika majoriti parti Melayu masih mabuk untuk bertelagah.

“Berjaya yakin berdasarkan senario poliitik terkini, seruan kesepakatan yang dipelopori oleh Berjasa pada PRU13 itu akan menjadi faktor pengubah lanskap politik negara dalam sedikit masa lagi,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sungguh pun begitu, beliau berkata, Berjasa masih berada dalam Gagasan Sejahtera bersama Pas, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan Parti Cinta Malaysia (PCM).

Bagaimanapun katanya, parti itu amat terbuka untuk menerima dan memperjuangkan apa-apa blok kepartian yang memberikan dominasi politik kepada orang Melayu bagi memastikan kestabilan negara.

Justeru beliau menambah, parti berkenaan menyeru semua rakyat untuk sama-sama memberi sokongan kepada parti dalam usaha membawa kesatbilan dan kesejahteraan Malaysia melalui kesepakatan dan kesatuan orang Melayu.

“Kita impikan sebuah negara yang aman dan damai tanpa golongan cauvinis, pengamal budaya korupsi, golongan liberal dan sekular yang membawa kepada penghapusan jatidiri dan identiti rakyat dan negara Malaysia serta menggugat kedudukan Islam sebagai agama rasmi,” ujarnya. – MalaysiaGazette