Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

KUALA LUMPUR – Kelab Liga Super, Felda United diarah membayar tunggakan baki pembayaran ‘signing fees’ dan tunggakan elaun perumahan kepada bekas jurulatihnya yang kini ketua jurulatih Selangor, B. Satiananthan berjumlah RM565,960.

Keputusan itu dibuat Jawatankuasa Status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam mesyuarat kali ke-11 pada 23 Mei lalu.

Jawatankuasa turut mencapai keputusan terhadap 33 kes berkenaan tunggakan gaji yang melibatkan pemain dan pegawai pasukan Liga Malaysia.

Antara pasukan yang terlibat ialah pasukan Kelantan dan mereka dikehendaki membayar tunggakan gaji kepada tiga bekas pemainnya yang berjumlah RM173,000.

Pengerusi jawatankuasa status FAM, Mohd Joehari Ayub dalam satu kenyataan berkata, Persatuan Bolasepak Kelantan perlu membayar RM33,000 kepada Daudsu Jamaluddin, Norhafiz Zamani Misbah (RM87,500) dan Zairul Fitree Ishak (RM52,500) dalam tempoh 30 hari dari tarikh penerimaan keputusan ini.

Selain itu, FAM turut mengarahkan kelab Terengganu City FC melangsaikan tunggakan gaji yang berjumlah lebih RM400,000 kepada 21 pemain mereka dalam tempoh 30 hari seperti yang ditetapkan.

Marcerra United dan Pulau Pinang turut diarahkan membayar tunggakan gaji mereka berjumlah lebih RM50,000 kepada pemain mereka.

Tuntutan yang dikemukakan oleh tiga pemain terhadap Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) berhubung pertikaian berkaitan pekerjaan iaitu membabitkan kestabilan kontrak turut diterima oleh FAM.

SAFA dikehendaki membayar pampasan kontrak dan tiket penerbangan berjumlah sebanyak AS$86,461 kepada tiga pemain import mereka iaitu Frederico Bello Saraiva, Paulo Henrique Santos De Azevedo dan Leonardo Moreira De Carvalho. – MalaysiaGazette