KUALA LUMPUR – Syarikat penerbangan Flyglobal didakwa melanggar syarat buat kali kedua apabila lebih 200 kakitangannya masih belum menerima gaji.

Tunggakan gaji membabitkan krew kapal bagi bulan April dan Mei.

Manakala tunggakan gaji juruterbang dan kakitangan lain didakwa sehingga empat bulan.

Keadaan itu kian meruncing apabila sambutan Hari Raya Aidilfitri akan disambut kurang dari lapan hari sahaja lagi.

Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa ini merupakan kali keduanya dalam tempoh tiga bulan apabila syarikat ini masih gagal membayar gaji bulanan krew kapal.

Kali pertama pada awal bulan Februari tahun ini apabila syarikat itu dilanda krisis sehingga caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak dibayar.

NUFAM telah membawa aduan ini kepada pihak Jabatan Buruh dan tindakan telah diambil apabila syarikat diarah membayar gaji pekerja mereka serta-merta.

Namun, NUFAM hairan apabila pengarah syarikat ini tidak dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.

“Kenapa tiada tindakan terhadap pengarah syarikat yang telah melanggar undang undang? Manakah keadilan untuk pekerja-pekerja ini semua?

“NUFAM mahu tindakan lebih keras terhadap syarikat diambil jika benar mereka telah melanggar undang undang. Tiada kompromi jika mereka tidak mahu membayar gaji pekerja mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Jelasnya, NUFAM percaya ada kelemahan dan amalan tidak betul apabila pekerja telah dianiayai memandangkan ini bukan kali pertama syarikat tidak membayar gaji.

Pengarah syarikat ini juga pernah memberi jaminan bahawa gaji pekerja akan terus dibayar tetapi hanya janji manis sahaja.

Sehubungan itu, NUFAM mencadang supaya pihak berkuasa ambil tindakan keras jika FlyGlobal masih tidak membayar gaji sebelum hari raya.

“Ramai pekerja-pekerja ini memerlukan duit untuk perayaan hari raya.

“Syarikat harus faham dan sensitif terhadap pekerja mereka terutama apabila musim perayaan sudah dekat, ramai perlukan duit untuk keluarga mereka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kenapa pihak berkuasa tidak ambil tindakan.its sad to note the crew and the pilots were not paid their salaries for several months.Hari Raya festival is going to be bleak one for the 200 odd employees of this airline -all because the inefficiency of the authorities concerned.MACC should look into this as it appears that some form of illegal deal is going on which is affecting the interest of the affected crew. The CEO of this airline should be taken to task by the authorities for defying the court order to pay the employees. The affected crew should lodge a report to the MACC.

Comments are closed.