Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak hari ini membuat sindiran tajam apabila mengemukakan teori baharu “Guan Eng turun, ringgit naik”.

Teori itu dikemukakan oleh bekas perdana menteri itu selepas mendakwa teori lama yang dibuat oleh sesetengah pemimpin Pakatan Harapan (PH) sebelum ini iaitu “Najib turun, ringgit naik” terbukti tidak betul.

Malah, katanya, alasan bukan ringgit yang turun tapi dolar Amerika Syarikat yang naik juga tidak boleh diterima.

“Apa kata kita try pulak teori baru “Guan Eng turun, Ringgit naik”?,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14, banyak pemimpin PH yakin penyusutan nilai ringgit yang dihadapi Malaysia pada masa itu mempunyai kaitan dengan prestasi pentadbiran Najib.

Lantaran itu, ada yang menggesa Najib berundur daripada kedudukannya demi memulihkan ekonomi Malaysia.

Ini bukan kali pertama Najib berkata demikian kerana sebelum ini, Najib mendakwa ringgit mencatat nilai paling rendah dalam sejarah berbanding baht Thailand.

“Laungan PH pada suatu masa dahulu ialah ‘Najib turun, Ringgit naik’.

“Saya dah turun dan (Lim) Guan Eng sudah naik, tapi ringgit turun dengan lebih dahsyat lagi. Apa alasan Guan Eng?” soalnya. – MalaysiaGazette