Haris Fadzilah Hassan

KUALA LUMPUR- FGV Holdings Bhd. (FGV) menjangkakan penjualan aset peladangan di Indonesia, Trurich Resources Sdn. Bhd. akan dimuktamadkan pada akhir September ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Haris Fadzilah Hassan mengesahkan setakat ini sudah terdapat tujuh pihak yang telah menyatakan minat untuk membeli Trurich Resources.

Trurich Resources yang menguasai 42,000 hektar estet kelapa sawit di Kalimantan dimiliki bersama oleh FGV dan Lembaga Tabung Haji dengan nisbah pegangan 50:50.

Tambah Haris Fadzilah, transaksi tersebut dijangka bernilai RM1 bilion dan bukannya AS$1 bilion seperti yang dilaporkan sebelum ini.

“Ia merupakan salah satu aset yang telah dirancang untuk dilupuskan untuk mendapatkan duit.

“Sudah ada tujuh pihak yang menyatakan minat, tiga daripadanya mahu memiliki kedua-dua ladang milik Trurich manakala baki empat lagi hanya mahu memiliki salah satu daripada estet tersebut.

“Sudah tentu kami lebih berminat untuk menjual kedua-duanya sekali. Kami ketika ini sedang berunding dengan ketujuh-tujuh pihak berkenaan,” katanya semasa sidang media selepas mengumumkan prestasi kewangan FGV suku pertama 2019 di sini hari ini.

Trurich Resources menjadi perhatian ramai sebelum ini apabila membuat laporan polis pada Disember tahun lalu berhubung salah laku lima pengurusan kanan TH dan anak syarikatnya termasuk bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Ismee Ismail.

Mereka dikatakan telah mengelirukan syarikat semasa mengambil alih ladang -ladang kelapa sawit di Indonesia dengan harga AS$58 juta di antara tahun 2008 dan 2009.

Dalam pada itu FGV mensasarkan untuk meraih RM350 juta daripada pelupusan aset bukan teras dan bukan untung dalam tempoh tiga tahun.

Haris Fadzilah Hassan berkata, sejumlah RM150 juta hasil dijangka dapat direkodkan pada suku ketiga tahun ini.

Bagaimanapun angka tersebut tidak termasuk pelupusan aset Trurich Resources kerana syarikat berkenaan dimiliki bersama dengan TH.

Menurut Haris Fadzilah, antara aset yang bakal dilupuskan adalah Felda Engineering Services Sdn. Bhd., Felda Properties Sdn. Bhd. dan Felda Travel Sdn. Bhd.

Sebelum ini, Pengerusi Datuk Wira Azhar Abdul Hamid berkata, FGV berhasrat untuk melupuskan 10 syarikat bukan teras dan tidak untung. – MalaysiaGazette