KUALA LUMPUR – Ringgit meneruskan penurunan semalam untuk ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini apabila peningkatan kebimbangan terhadap ketegangan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China menyebabkan pelabur mencari aset selamat, kata seorang peniaga.

Pada 6 petang, ringgit turun kepada 4.1920/1960 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.1870/1900 pada Selasa.

Beliau berkata prestasi dolar AS juga disokong oleh penurunan euro apabila prospek masa depan ekonomi dan politik zon Eropah yang lemah menyebabkan pelabur beralih minat ke arah mata wang lain.

Seorang peniaga berkata tumpuan pelabur kini kekal kepada perang perdagangan AS-China, dengan media China melaporkan China sedang menimbang bertindak balas terhadap kenaikan tarif terbaharu AS, langkah yang akan meningkatkan lagi ketegangan antara dua ekonomi terbesar dunia itu.

Sementara itu, ringgit di niagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0317/0357 daripada 3.0396/0420 pada Selasa tetapi susut berbanding yen Jepun kepada 3.8353/8400 daripada 3.8283/8321.

Ringgit turun berbanding pound British kepada 5.2991/3050 daripada 5.2986/3045, tetapi mengukuh berbanding euro kepada 4.6758/6819 daripada 4.6844/6899. – BERNAMA