Tertuduh, Nawawi Anuar, 28 tahun membuat pengakuan terbabit selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

KANGAR – Mengaku bersalah atas 26 pertuduhan jenayah seksual ke atas lima pelajar lelaki, seorang warden sebuah pusat tahifz di Simpang Empat, Perlis dijatuhi hukuman penjara 113 tahun serta 42 sebatan.

Tertuduh, Nawawi Anuar, 28, mengaku melakukan kesalahan tersebut sekitar April lalu  selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Tertuduh yang tiba di Mahkamah Sesyen Kangar sekitar jam 10 pagi didakwa melakukan perbuatan tersebut ke atas mangsa yang berusia antara 9 hingga 15 tahun yang juga pelajar tahfiz terbabit.

Awani melaporkan, dalam prosiding yang berlangsung selama tiga jam, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) memohon hukuman kebih berat kerana perbuatan tertuduh amat serius serta mendatangkan trauma kepada mangsa dan keluarga.

Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mohd Hapiz Rajali yang mewakili tertuduh merayu agar hukuman dapat diringankan memandangkan Nawawi telah kematian bapa dan menyara ibunya yang juga seorang suri rumah.

Pendakwaan sebelum itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norshuhada, Mohd Izham Ali dan Mohd Farhan Aliff Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam YBGK iaitu Mohd Hapiz dan Nor Herdawati.

Kesemua pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, Seksyen 377C Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(E) dan 16 (1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak Kanak 2017, selain Seksyen 5(1)(a) Akta Penapisan filem 2002.

Mahkamah menetapkan 9 Julai depan bagi serahan dokumen bagi tiga pertuduhan yang diminta untuk perbicaraan.

Peguam yang mewakili tertuduh ketika ditemui di luar kamar mahkamah turut menjelaskan bahawa Nawawi sebelum ini pernah menjadi mangsa liwat di salah sebuah tahfiz sekitar Baling dan menegaskan wujud kemungkinan kejadian berlaku bermotifkan dendam.