Abdul Hamid Bador

KUALA LUMPUR – Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia berjaya menangkap tiga lelaki yang disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas Daesh.

Mereka terdiri dari warga Malaysia, Indonesia dan Bangladesh ditangkap antara 17 hingga 30 Mei 2019.

Tangkapan lelaki tempatan yang berusia 42 tahun itu dibuat pada 17 Mei lalu.

Suspek yang bekerja sebagai seorang kontraktor itu telah berbaiah sebanyak dua kali dengan Abu Bakar Al-Baghdadi, pemimpin Daesh melalui Facebook.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, suspek ditangkap di KLIA ketika hendak berlepas ke Mesir bagi menyertai kumpulan pengganas itu di Sinai, Mesir dan seterusnya seludup masuk ke Syria.

“Suspek berpegang kuta kepada ideologi Salafi Jihadi apabila menolak sistem demokrasi berparlimen, tidak mengiktiraf Kerajaan Malaysia dan institusi agama yang dilabelkan sebagai kafir. Malah, mana-mana umat Islam yang terlibat dalam pilihan raya dilabelkan sebagai kafir dan boleh dibunuh.

Tangkapan kedua pula di Keningau, Sabah, membabitkan seorang buruh kasar Indonesia berusia 20 tahun.

Dia juga telah berbaiah dengan kumpulan Daesh dan disyaki sebagai fasilitator kepada kumpulan itu di Indonesia yang transit di Sabah sebelum berlepas ke selatan Filipinan bagi melancarkan serangan bunuh diri.

“Suspek juga menyalurkan dana kepada pengganas Maute di selatan Filipinan serta merancang untuk berjihad di Syria,” kata Abdul Hamid.

Manakala tangkapan ketiga pada hari ini di Kuala Kedah, Kedah melibatkan seorang lelaki Bangladesh, 28, yang bekerja sebagai mekanik kapal.

Lelaki tersebut disyaki penyokong Daesh dan memiliki bahan-bahan kimia serta kepakaran menghasilkan peranti letupan.

Kesemua mereka ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA – Kesalahan berkaitan dengan keganansan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).

Abdul Hamid berkata, polis sedang mengesan seorang lagi kumpulan itu yang disyaki bertindak sebagai fasilitator kepada anggota Daesh Indonesia yang transit di Sabah sebelum berlepas ke selatan Filipina.

Lelaki itu dinamakan sebagai Marwan, berusia dalam lingkungan 30-an, seorang warga Indonesia dengan alamat terakhir di Kampung Keritan Laut, Keningau, Sabah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Marwan diminta menghubungi Inspektor Mohd Razizuan Mohd Razali di talian 017-3278435 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette