BAKU, AZERBAIJAN – Chelsea mudah membawa pulang trofi Liga Europa ke Stamford Bridge selepas membelasah Arsenal 4-1 pada aksi final di Stadium Olimpik Baku di sini sebentar tadi.

Pada perlawanan itu, Eden Hazard meledak dua gol sementara Olivier Giroud dan Pedro Rodriguez, masing-masing menjaringkan satu gol.

Gol Gunners dijaringkan oleh Alex Iwobi selepas ketinggalan 0-3 yang gagal membangkitkan semangat untuk melawan.

Kejayaan Chelsea itu cukup bermakna apabila muncul kelab pertama memenangi kejuaraan peringkat Eropah tanpa kalah sebarang perlawanan sejak Manchester United menjuarai Liga Juara-Juara 2007/2008 dengan rekod bersih.

Hazard pula pemain pertama meledak dua gol dalam final pentas Eropah sejak Mark Hughes melakukannya bersama United pada aksi akhir Piala Antara Juara 1991.

Bagi Arsenal, kekalahan itu meranapkan impian mereka untuk beraksi dalam Liga Juara-Juara musim depan selepas sekadar menutup kempen Liga Perdana Inggeris di tangga kelima.

Anak-anak buah Unai Emery kini terpaksa lagi menunggu untuk membawa pulang trofi Eropah pertama selepas 25 tahun. – MalaysiaGazette