Mahathir Mohamad
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad

TOKYO- Malaysia mencadangkan mata wang baharu berasaskan emas kerana ia lebih stabil berbanding dagangan mata wang ketika ini yang mudah dimanipulasi, kata Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Katanya, dengan menggunakan emas, mata wang boleh digunakan untuk menilai aktiviti import dan eksport dalam kalangan negara-negara Asia Timur.

“Kita boleh membuat pembayaran menggunakan mata wang (baharu yang menggunakan emas).

“Mata wang tersebut mestilah dikaitkan dengan mata wang tempatan sama seperti tukaran mata wang asing dan ianya boleh dikaitkan dengan prestasi sesebuah negara.

“Melalui cara itu, kita tahu berapa banyak kita pinjam, berapa banyak yang perlu kita bayar dalam mata wang khas Asia Timur,” katanya semasa sesi dialog di Persidangan Antarabangsa Masa Depan Asia (Persidangan Nikkei) ke-25 di sini hari ini.

Dr. Mahathir tiba di Tokyo malam tadi bagi lawatan kerja selama tiga hari.- MalaysiaGazette