Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Malik Streams Corporation, Datuk Abdul Malik Dasthigeer (tengah) menyampaikan sumbangan kepada pesakit diiringi Ketua Komunikasi Korporat HKL, Norazah Muhamad Azha (kanan) pada Program Melawat dan Menyampaikan Sumbangan Aidilfitri 2019 Kepada Pesakit-Pesakit Hospital Kuala Lumpur di HKL, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 30 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Hospital Kuala Lumpur (HKL) memberi jaminan akan memastikan kakitangan perubatannya diletakkan dalam keadaan bersiap sedia sepanjang Hari Raya Aidilfitri yang disambut umat Islam, minggu depan.

Pengarahnya, Dr Heric Corray berkata, arahan itu terpakai kepada semua kakitangannya termasuk yang beragama Islam bagi memastikan perkhidmatan kesihatan itu tidak terjejas.

“Kakitangan kita memang mencukupi sepanjang minggu hari raya, bukan semua (kakitangan) dibenarkan bercuti, ada yang beragama Islam perlu juga bekerja untuk kepentingan perkhidmatan

“Perkhidmatan itu seperti kecemasan, Jabatan Bedah dan jabatan-jabatan bilik pembedahan, semua itu masih berjalan untuk memberi rawatan bagi kes-kes kecemasan,” katanya ketika ditemui semasa Program Penyampaian Sumbangan Aidilfitri 2019 kepada Pesakit-pesakit HKL anjuran Malik Streams Corporation Sdn Bhd, Datuk Abdul Malik di HKL, di sini, hari ini.

MGF30052019_MALIK STREAMS CORPORATION HKL_11
Pengarah HKL, Dr. Heric Corray Solomon Corray bercakap kepada media pada Program Melawat dan Menyampaikan Sumbangan Aidilfitri 2019 Kepada Pesakit-Pesakit Hospital Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 30 MEI 2019

Hadir sama Timbalan Pengarah (Pengurusan) HKL, Arzmi Mansor; Timbalan Pengarah (Perubatan) II, Dr Ruzita Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malik Streams Corporation Sdn Bhd, Datuk Abdul Malik Dasthigeer.

Terdahulu Dr Heric merakamkan penghargaan kepada Malik Streams Corporation Sdn Bhd kerana memilih HKL untuk menjayakan program tanggungjawab sosial (CSR) yang julung kali diadakan di hospital berkenaan.

“Saya amat gembira kerana program CSR itu berjaya memberikan sumbangan duit raya dan hamper kepada pesakit-pesakit di wad 23,24 dan 27 di HKL.

“Sumbangan itu diharapkan dapat menceria dan membantu mempercepatkan proses penyembuhan para pesakit di samping mendekatkan pihak syarikat dengan pelbagai lapisan masyarakat yang ada di HKL,” katanya.

Katanya lagi, kesiapsiagaan HKL tanpa mengira masa dan musim perayaan itu bagi menampung keperluan perubatan warga kota susulan kunjungan pesakit mencecah hampir 1.2 juta pesakit setahun.

“Bagi menampung keperluan itu, HKL kini dilengkapi 82 wad berkapasiti sebanyak 2,143 katil,” katanya lagi. – MalaysiaGazette