KUALA LUMPUR- Ringgit terus mencatatkan penyusutan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini disebabkan pengukuhan dolar AS berikutan kebimbangan berhubung perang perdagangan AS-China yang semakin buruk, kata peniaga.

Pada 9 pagi, nota tempatan turun kepada 4.1930/1980 berbanding dolar AS daripada 4.1920/1960 penutup Rabu.

Peniaga berkata, kebimbangan terhadap perang perdagangan mendorong jualan di pasaran baru muncul termasuk Malaysia yang adalah ekonomi yang sangat terbuka.

“Dolar AS akan terus bertindak sebagai aset selamat, khususnya di tengah-tengah pertikaian perdagangan, ketidakpastian Brexit dan kebimbangan pertumbuhan global,” kata peniaga itu.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi kukuh berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.8275/8331 daripada 3.8353/8400 dan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.2932/3000 daripada 5.2991/3050.

Nota tempatan itu mengukuh berbanding euro kepada 4.6710/6770 daripada 4.6758/6819 tetapi susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0373/0420 dari Rabu 3.0317/0357. – BERNAMA