KUALA LUMPUR – Pemuda Pakatan Harapan (PH) tidak perlu terikut-ikut rentak Lim Kit Siang yang mendendangkan alasan sama setiap kali dihujani soalan ekonomi dengan menunding jari kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) dan perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China.

Sebaliknya, Pemuda PH harus teliti dalam menyalahkan BN kerana fakta perbandingan tidak boleh ditipu, ia termasuk perang dagang antara Amerika Syarikat dan China.

Ini kerana, persoalannya mengapakah pelabur asing keluar dari Malaysia dan ringgit bertambah lemah, walhal negara serantau lain seperti Indonesia dan Thailand, ekonomi mereka makin mengukuh.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia, Shahir Adnan berkata, alasan sama yang digunakan oleh PH hanyalah jawapan biasa untuk menutup kegagalan diri.

Menurut beliau, Khazanah Nasional merupakan sayap pelaburan terpenting negara mencatatkan keuntungan RM 2.9 billion dengan nilai aset meningkat RM 13.5 billion sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

IMG_0093-001
Shahir Adnan

Malangnya, selepas PRU, Khazanah Nasional mencatatkan kerugian RM 6.3 billion dengan nilai aset susut RM 25 billion disebabkan penjualan beberapa aset penting Khazanah terutamanya kerajaan menjual saham IHH kepada Mitsui.

IHH merupakan pemilik rangkaian hospital swasta terbesar di Asia, Malaysia, Singapura dan Turki, juga adalah kumpulan hospital kedua terbesar di dunia dan India. Syarikat itu disenaraikan di Bursa Malaysia sejak 2012.

“Untuk menutup kelemahan pentadbiran ekonomi hari ini, Setiausaha Agung DAP dan Pemuda Amanah Amanah membuat kenyataan janggal tentang FDI (pelaburan langsung asing) negara. Lim Guan Eng mengumumkan Malaysia telah mencapai FDI tertinggi dalam sejarahnya.

“Negara ini menerima RM21.7 bilion dalam FDI pada suku pertama tahun ini. Dalam tempoh yang sama tahun lepas negara mencatatkan RM11.2 bilion. Ini mewakili peningkatan sebanyak 94.8 peratus dalam FDI,” kata Shahrir Adnan.

Masalahnya, dakwa beliau, Menteri Kewangan dan Pemuda Pakatan Harapan keliru dengan istilah FDI.

Berdasarkan maklumat diperoleh, daripada sejumlah RM 21.7 bilion, RM 8.4 bilion adalah dari Jepun; RM 3.7 bilion dari Austria dan selebihnya RM 9.6 bilion dari negara lain termasuk Hong Kong.

Tetapi, RM 8.4 bilion tersebut merupakan hasil penjualan aset Khazanah kepada Mitsui. Sebanyak RM 3.7 bilion merupakan hasil penjualan pemilikan 50% saham Sapura Upstream Sdn Bhd oleh Syarikat Minyak OMV berpangkalan di Australia. Ini bermakna FDI baru sebenarnya menurun daripada RM 11.2 billion kepada RM 9.6 billion.

“Adakah penjualan aset-aset negara menjadi penanda aras FDI? Jika begitu jawapan beliau, seperti yang dinyatakan di dalam sidang media, maka penjualan aset negara adalah baik dari kaca mata Lim Guan Eng.

“Dewan Pemuda Ikatan Malaysia mengajak rakyat berfikir sejenak. Adakah penjualan aset utama negara, seperti Petronas misalnya, baik untuk negara? Semestinya jawapannya adalah Tidak. Penjualan aset menunjukkan negara memerlukan tunai untuk tempoh masa singkat,” ujarnya.

Hutang kerajaan sebelum PRU-14 adalah sebanyak RM 686 billion, tetapi hari ini hutang negara sudah meningkat kepada RM 776 billion pada suku pertama 2019, kenaikan hampir RM 100 billion – ini merupakan penanda aras bahawa kerajaan PH gagal mentadbir ekonomi negara.

Katanya, nisbah hutang kerajaan kepada KDNK pula hanyalah 50.1% pada suku pertama 2018, sebelum PRU14 dan nisbah ini meningkat kepada 53.8% pada suku pertama 2019.

Penanda aras indeks Bursa Saham Malaysia, KLSE sebelum PRU mencatatkan 1,895 mata tetapi hari ini indeks KLSE menjunam kepada 1,626
mata.

Kadar pertumbuhan ekonomi negara, KDNK sebelum PRU14 adalah 5.9% tetapi selepas PRU-14 turun kepada 4.5%.

“Malangnya angka yang dikeluarkan oleh Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil hanya membandingkan KDNK 4.5% dengan “jangkaan ekonomi dunia” iaitu 2.7%. Bak kata pepatah, ini bukanlah perbandingan “apple-to-apple”.

“Sewajarnya mereka membanding KDNK Malaysia sebelum dan selepas PRU14,” tambahnya.

Shahrir berkata, fakta ekonomi tidak akan menipu skor kesihatan ekonomi negara dan Pemuda Pakatan Harapan dan Amanah tidak perlu menjadi “akauntan profesional” seperti Menteri Kewangan untuk melihat kemerosotan ekonomi negara jika dibandingkan sebelum dan selepas PRU14. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Menteri Kewangan menipu data ekonomi Negara. Lepas tu pura2 berjaya memacu ekonomi Negara ketahap yang baik tetapi ekonomi negara makin merundum berdasarkan data ekonomi dari perbagai pihak.
    Buat lah kerja, bukannya menjual asset negara macam tu saja. Tau la syarikat kroni mau jadi kaya raya tetapi Agak2 lah.
    Lapuran prestasi Menteri Kewangan GAGAL…
    Malang sungguh Kerajaan PH melantik Menteri Kewangan salah titik perpuluhan ni.
    We deserve better quality ministers, not someone whom only have vengeance in their actions.

Comments are closed.