Kedudukan kapal dan bot sebelum pelanggaran di Sungai Danube, Budapest. foto Agensi

BUDAPEST – Kapten kapal yang bertembung dengan bot pelancongan di Sungai Danube di sini hingga menyebabkan sekurang-kurangnya tujuh kematian, telah ditangkap, kata polis.

Penduduk Ukraine berusia 64 tahun itu ditahan sebagai suspek atas salah laku yang melulu dalam lalu lintas air yang membawa kepada kemalangan besar.

Bot yang membawa pelancong Korea Selatan itu tenggelam dalam tempoh tujuh saat selepas perlanggaran yang berlaku ketika hujan lebat pada hari Rabu.

Harapan untuk menemui 21 orang lagi yang masih hilang dalam keadaan selamat semakin tipis.

Tujuh mangsa yang berjaya diselamatkan mengalami hipotermia (suhu badan sejuk) tetapi stabil.

Rakaman CCTV menunjukkan bot berkenaan, Hableany atau Mermaid tenggelam selepas dilanggar dari belakang oleh sebuah kapal besar, Viking Sigyn berhampiran Jambatan Margit di tengah Budapest pada pukul 9 malam waktu tempatan.

“Kejadian berlaku sangat pantas.

“Saya fikir pada mulanya tidak ada apa-apa berlaku tetapi depan Viking melanggar bahagian belakang bot kecil itu … dan kemudian badan bot itu muncul di sebelah kapal, hanya beberapa saat kemudian, dan kemudian ia tenggelam,” kata pelancong Amerika Syarikat yang berada di atas Viking Sigyn.

Tiada seorang pun penumpang kapal Viking cedera dalam insiden itu. – MalaysiaGazette