KUALA LUMPUR – Kira-kira 96,000 rakyat negara ini menandatangani petisyen meminta kerajaan mengkaji semula meter digital yang digunakan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) berikutan kiraannya terlalu tinggi dan tidak munasabah.
Mereka menyifatkan, dengan meter baharu yang dinamakan sebagai ‘Meter Pintar’ itu, caj penggunaan elektrik bagi setiap pengguna naik mendadak sehingga dua kali ganda dari kadar sebelum ini.
Menurut kenyataan petisyen yang memungut tandatangan orang ramai menerusi laman Change.org, mereka mendapati ada unsur penipuan oleh pihak TNB terutama apabila berlaku kelewatan bil dihantar ke rumah pengguna.
“Apabila bil sampai lewat dari tarikh ditetapkan, kami pengguna terpaksa membayar lebih mengikut kiraan prorata TNB.
“Manakala cukai yang dikenakan pula agak tinggi bagi setiap bil sehingga membebankan rakyat,” kata kenyataan itu.
Menurutnya, jika pengguna gagal menjelaskan bil berkenaan, TNB akan membuat pemotongan bekalan elektrik dengan alasan pengguna gagal menjelaskan tunggakan.
Rata-rata mereka tidak puas hati dengan pengiraan blok TNB yang dikatakan terlalu mahal dan perlu diubah mengikut kemampuan rakyat.
Mereka mahu kerajaan menyiasat segera segala aduan pengguna bagi mengurangkan beban elektrik yang ditanggung, terutama ketika umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri minggu depan.
“Siasatan perlu telus dan mengambil kira aduan rakyat. Kita belum berpuas hati jika tidak ada campur tangan dari kerajaan mengenai peningkatan bil bulanan yang naik mendadak bagi semua pengguna TNB seluruh negara,” katanya kenyataan petisyen itu. – MalaysiaGazette