KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) menyerahkan zakat sejumlah RM4,597,045.24 kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk negeri Pahang.

Bayaran zakat bagi negeri Pahang ini mencatatkan peningkatan sebanyak 25.7 peratus erbanding tahun 2017 (RM 3,657,354.30).

Zakat itu diserahkan oleh Datuk Seri Zukri Samat, Pengarah Urusan Kumpulan & Ketua Pegawai
Eksekutif TH.

Zukri berkata, TH berharap pembayaran zakat ini dapat dimanfaatkan oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang ke arah kemampanan program-program zakat yang dirangka di Pahang bagi kelestarian ekonomi golongan asnaf.

Jumlah keseluruhan bayaran Zakat TH 2018 terus mencatatkan peningkatan sebanyak 26.6 peratus (RM85.57 juta) berbanding tahun 2017 (RM67.61 juta).

Menurut beliau, TH memperkasakan lagi tanggungjawabnya dengan pelaksanaan Program Zakat yang disasarkan kepada golongan yang memerlukan melalui penganjuran program berbentuk pendidikan, keusahawanan, kebajikan dan kemasyarakatan.

Inisiatif tersebut diharap memberi impak positif berganda kepada golongan asnaf. – MalaysiaGazette