Saat-saat Susilo Bambang Yudhoyono bersama isterinya, Ani Yudhoyono. foto Agensi

JAKARTA – Isteri kepada bekas Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono meninggal dunia di National University Hospital (NUH) hari ini.

Ani Yudhoyono, 66, menerima rawatan leukaemia di hospital berkenaan sejak bulan Februari tahun ini.

Bekas wanita pertama Indonesia itu menghembus nafas terakhir pada pukul 11.50 pagi di Unit Penjagaan Rapi, dikelilingi oleh keluarganya, menurut jurucakap Parti Demokratik, Imelda Sari.

“Kami harap doa daripada rakyat Indonesia. Kami harap segala kesilapan Ani, secara sengaja dan tidak disengajakan dimaafkan,” kata Imelda lagi.

Ani merupakan tonggak kekuatan Bambang semasa menjadi pemimpin Indonesia dari tahun 2004 hingga 2014.

Jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kalibata Heroes di Jakarta petang ini. – MalaysiaGazette