Gambar hiasan

LONDON – Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines) sedang mengkaji semula sama ada akan meneruskan pembelian 25 buah pesawat 737 Max bernilai AS$2.75 bilion susulan dua nahas membabitkan model kapal terbang itu.

Walaupun, Malaysia Airlines belum membuat sebarang keputusan, syarikat penerbangan itu mahu Boeing memberi jaminan mengenai keselamatan pesawat itu sebelum keputusan seterusnya, menurut sumber.

Keadaan meningkatkan jumlah ketidakpastian syarikat penerbangan bagi pembelian pesawat 737 Max.

Sebelum ini, syarikat penerbangan Garuda Indonesia berkata, ia tidak lagi mahu membeli pesawat 737 Max yang sedang dihentikan operasinya.

Lion Air pula sedang membatalkan tempahan pesawat berkenaan.

Malaysia Airlines bersetuju untuk membeli 25 buah pesawat 737 Max dari Boeing dengan pilihan untuk menggandakan tempahan yang menelan kos sebanyak AS$5.5 bilion.

Setakat ini syarikat penerbangan itu belum menerima pesawat berkenaan. – MalaysiaGazette