Khaled Nordin
Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Pemuda DAP dicabar supaya mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan bahawa program matrikulasi di bawah kerajaan lepas hanya menguntungkan kroni, golongan elit, kaya dan yang mempunyai kabel”.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan, perkara itu perlu dijelaskan dengan data dan fakta.

“Jika tidak, apa beza nilai dan status sebuah parti politik yang kononnya jujur dan progresif, dengan mereka yang diupah berdemo dan memekik di jalanan tanpa sebarang fakta?” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.

Khaled berkata demikian sebagai respos terhadap tuduhan Pemuda DAP, Howard Lee yang sebelum ini didakwa berkata, semasa Khaled dan Barisan Nasional (BN) berkuasa, mereka mengutamakan golongan elit dan kaya.

Lee juga dipetik berkata, orang Melayu B40 dan rakyat biasa tidak mempunyai rangkaian hubungan bagi membolehkan mereka mendapat manfaat daripada dasar yang disasarkan untuk kumpulan berpendapatan rendah.

Lee berkata demikian menjawab kritikan Khaled terhadap beberapa cadangan DAP untuk meminda program matrikulasi universiti.

Khaled menambah, jika benar isu matrikulasi itu tidak dilihat dari kaca mata perkauman, Pemuda DAPSY peru menunjukkan bahawa calon-calon yang diterima masuk ke Matrikulasi selama ini adalah mereka yang tidak layak (dari segi pencapaian asas akademik dan kedudukan sosial keluarga).

Khaled turut mendakwa, DAP mahu mewujudkan kesamarataan penuh tanpa memahami falsafah di sebalik langkah kerajaan menetapkan kuota untuk pelajar Melayu dan bukan Melayu.

“Cuma, saya amat tidak bersetuju apabila DAPSY berpandangan yang “ekonomi global tidak peduli tentang warna kulit, kepercayaan, adat resam kita”.

“Anggapan yang demikian adalah amat tidak matang atas beberapa sebab,” ujarnya.

Dalam pada itu, bekas menteri pengajian tinggi berkenaan berkata, UMNO dan BN sememangnya membantu golongan yang susah selama 60 tahun lepas dan tidak bersikap apologetik atau malu untuk mengaku bahawa majoritinya adalah golongan Bumiputera.

Katanya, golongan Bumiputera masih tertinggal di belakang dan memerlukan campur tangan kerajaan bagi membolehkan mereka maju ke hadapan setara dengan orang Cina khususnya, terutama dalam bidang pendidikan.

“Dalam konteks sebegini, kesamarataan mutlak dan merit yang diperjuangkan Pemuda DAP akan hanya terus meminggirkan mereka yang tertinggal. Manakala mereka yang sudah terkehadapan akan terus terkehadapan,” ujarnya.

Bulan lalu, Menteri Pendidikan, Maszlee Malik mengeluarkan kenyataan bahawa, kuota 90:10 yang mengutamakan pelajar Bumiputera dalam program matrikulasi akan dikekalkan, berikutan gesaan supaya kuota berasaskan kaum itu dihapuskan.

Perkara tersebut telah mencetuskan perdebatan mengenai kursus pra-universiti anjuran kerajaan yang didakwa menyediakan laluan lebih mudah kepada pelajar Melayu dan Bumiputera untuk diterima masuk ke universiti.

Kerajaan mempertahankan sistem kuota berkenaan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan, ia bertujuan menggalakkan lebih ramai pelajar Bumiputera mengikuti ijazah dalam bidang berkaitan sains. – MalaysiaGazette