KUALA LUMPUR- Majlis Peguam Malaysia menggesa ahli-ahlinya lebih berhati-hati sebelum mengambil sebarang kes susulan keputusan seorang peguam menarik diri daripada inkues kematian ahli bimba, Muhammad Adib Mohd. Kassim.

Presidennya, Abdul Fareed Abdul Gafoor berkata, setiap ahli perlu memeriksa dan menilai setiap kes yang bakal diwakili mereka.

“Setiap ahli perlu memeriksa setiap satu kes yang akan diwakili sama ada mereka akan “dimalukan” ataupun profesionalisme mereka akan dipersoalkan sekiranya kes tersebut diterima.

“Ini adalah tanggung jawab yang mana semua peguam perlu ambil serius,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Minggu lepas, Peguam Negara, Tommy Thomas menyatakan beberapa sebab mengapa peguam Syazlin Mansor yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia tidak sesuai untuk meneruskan tugasnya dalam ikues kematian Muhammad Adib.

Menurut Thomas, peranan aktif Syazlin yang sentiasa mengambil pendirian yang bertentangan dengan Pegawai Pengendali inkues tentang teori kematian Adib dan menyebabkan “keaiban” sebagai Peguam KPKT, hanyalah alasan lemah yang tidak sejajar dengan prinsip undang-undang berkenaan pengendalian sesuatu inkues.

Menurut Fareed, beliau bersetuju dengan pendapat Tommy mengenai potensi konflik kepentingan di dalam kes tersebut bagaimanapun kesal kerana tiada bantahan dikemukan dari awal.

Katanya, arahan supaya Syazlin menarik diri daripada mewakili kerajaan semasa inkues sudah berada di fasa terakhir mungkin boleh menimbulkan persepsi negatif kepada orang ramai.- MalaysiaGazette