Pasukan Teratak Twelve FC.

PUTRAJAYA – Minat mendalam terhadap bola sepak mendorong seorang usahawan produk kesihatan menawarkan diri menaja dan menaungi pasukan Teratak Twelve FC, sebuah kelab ‘budak flat’ yang bersaing dalam Liga Shah Alam (LSA), liga bola sepak amatur M4 anjuran Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Ketua Pegawai Eksekutif 8IGHTPLUS Malaysia Datuk Kamil Mohktar berkata keputusan menjadi penaung kelab yang berpangkalan di Flat Sri Pulau Pinang di Cheras itu dibuat selepas tertarik dengan kesungguhan dan dedikasi pemain serta pengurusan pasukan yang komited mengangkat nama tempat tinggal mereka melalui medium bola sepak.

“Sebagai bekas pemain yang berpengalaman beraksi dalam Piala Presiden dan Piala Razak sebelum ini, saya dapat lihat kualiti yang ada pada para pemain dan yakin pasukan ini boleh pergi jauh jika diberi suntikan dana,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

54230747_2211544609158938_469864908171771904_n
Ketua Pegawai Eksekutif 8IGHTPLUS Malaysia Datuk Kamil Mohktar (duduk tengah).

“Saya difahamkan latihan sebenar pasukan ini datangnya hanya melalui perlawanan persahabatan. Itulah antara kesulitan mereka hadapi sebelum ini kerana setiap perlawanan yang diatur melibatkan kos seperti bayaran padang dan pengadil,” katanya.

Dengan dana, ia akan membolehkan Teratak Twelve FC mengatur perlawanan persahabatan dengan lebih kerap selain menambah kelengkapan latihan sedia ada, katanya.

Penyertaan Kamil turut membawa sinar kepada pasukan yang ditubuhkan sejak 20 tahun lalu yang dikenali sebagai Kelab Flat Sri Pulau Pinang sebelum ini apabila mendapat tajaan jersi oleh syarikat pakaian sukan Line Seven serta tajaan sejumlah wang daripada syarikat makanan sejuk beku, NJ Frozen.

Kamil berkata beliau juga menerapkan tentang semangat kekeluargaan dan disiplin yang tinggi dalam pasukan dengan mendedahkan pemain dengan aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong dan membantu mereka yang dalam kesusahan.

Sebagai contoh, katanya pasukan itu menganjurkan perlawanan amal bagi mengumpul dana untuk membantu bekas pemain Selangor, Anuar Abu Bakar, yang menghidap kanser hati selain bergotong-royong menyediakan bubur lambuk untuk diedarkan kepada orang ramai di bazar Ramadan Bandar Sri Permaisuri, Cheras pada setiap minggu.

“Dengan cara itu hubungan sesama pemain dan pengurusan pasukan akan bertambah erat, sekali gus membantu meningkatkan aksi pemain di atas padang,” katanya sambil menambah amalan itu berkesan apabila Teratak Twelve kini menghuni kelompok empat teratas dalam saingan LSA.

Selepas empat perlawanan, Teratak Twelve berada di tempat keempat daripada 12 pasukan dengan rekod dua kemenangan, satu seri dan satu kalah.

Kamil berkata pasukan itu menyasarkan untuk melayakkan diri bersaing dalam Liga M3 dan menjadikan pasukan Tun Razak FC, kelab setempat yang kini bermain di Liga M3 serta turut beraksi dalam saingan pusingan kedua Shopee Piala FA 2019 sebagai panduan terutamanya dari aspek pengurusan.

“Dengan kesungguhan pemain, saya yakin kelab kerdil ini mampu memberikan cabaran terbaik sekali gus mengulangi sejarah melahirkan pemain untuk mewakili negeri dan negara seperti Azman Adnan, Azrul Amri Burhan dan Ivan Yusof yang kini merupakan jurulatih pasukan yang juga berasal dari flat di kawasan itu,” katanya

Kamil berkata beliau juga merancang mewujudkan elaun untuk pemain bagi menambah semangat mereka.- BERNAMA