Zuraida Kamaruddin
Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Peguam Negara bersetuju melantik seorang timbalan pendakwa raya kanan untuk mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam inkues bagi kematian Muhammad Adib Mohd Kassim.

Tommy Thomas turut bersetuju timbalan pendakwa raya itu nanti menerima pakai semua bukti dan hujah dikemukakan dalam Mahkamah Koroner oleh peguam terdahulu, Syazlin Mansor.

Ia termasuk keterangan Profesor Dr Shahrom Abd Wahid, bekas pakar perunding kanan forensik dan patologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Inkues itu menyaksikan percanggahan pendapat antara Shahrom dan pakar perubatan forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Hafizam Hasmi yang melakukan bedah siasat ke atas Adib.

Pandangan pakar-pakar itu boleh memberi petunjuk bagaimana anggota bomba itu cedera sebelum meninggal dunia pada 17 Disember 2018.

Allahyarham Adib meninggal dunia di Institut Jantung Negara selepas dibelasah dalam kejadian rusuhan di Kuil Maha Mariamman, Seafield di USJ 25 pada malam 26 November tahun lalu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu, Zuraida Kamaruddin berkata, dengan tindakan tersebut itu diharapkan sebarang spekulasi tidak berasas oleh pihak tidak bertanggungjawab dan inkues ini dapat diteruskan dengan baik tanpa gangguan.

“Timbalan pendakwa raya ini akan bertindak bebas daripada pegawai yang menjalankan inkues tersebut. Ini adalah susulan daripada penarikan diri Shazlin yang sebelum ini bertindak bagi pihak bomba,” katanya dalam satu kenyataan.

Zuraida berkata, persetujuan untuk melantik timbalan pendakwa raya baharu bagi mewakili pihak kerajaan dalam inkues itu dicapai dalam pertemuannya dengan Thomas semalam.

Prosiding inkues menentukan punca kematian Adib pada 27 Mei lalu dikejutkan dengan penarikan diri Syazlin susulan arahan Jabatan Peguam Negara kepada KPKT pada 23 Mei lalu supaya membatalkan pelantikannya.

Syazlin ialah satu-satunya peguam mewakili KPKT dan JBPM.

Thomas dalam satu kenyataan berkata, Syazlin memalukan dirinya sebagai peguam KPKT kerana sering mengambil pendirian bercanggah dengan timbalan pendakwa

Tommy berkata, Syazlin sepatutnya menolak pelantikan KPKT dan bomba kerana peguam tersebut turut mewakili keluarga Adib“yang mempunyai kepentingan secara langsung dalam inkues itu.

Bagaimanapun, Shazlin boleh terus mewakili keluarga Allahyarham Muhammad Adib.

Malah Peguam Negara itu mengingatkan mana-mana kementerian dan jabatan kerajaan perlu mendapatkan nasihat dan hanya boleh melantik peguam luar melalui Jabatan Peguam Negara.

Dalam pada itu, Zuraida turut mengucapkan terima kasih kepada Syazlin atas perkhidmatan profesional yang diberikan tanpa mengenakan sebarang bayaran sejak prosiding inkues bermula Februari lalu. – MalaysiaGazette