CCTV lebuhraya pantai timur berhampiran Tol Gombak menunjukkan keadaan trafik semasa menjelang suasana balik kampung sempena sambutan Aidilfitri pada Ahad 2 Jun 2019.

KUALA LUMPUR- Aliran trafik di Lebuh Raya Utara Selatan ke arah utara Semenanjung dan Selatan bergerak lancar setakat 11.30 pagi tadi bersempena kebanyakan warga kota balik kampung sebagai persiapan akhir menyambut 1 Syawal 5 Jun ini.

Menurut PLUS, bagaimanapun berlaku satu kemalangan di Persimpangan Nilai (Utara) arah Selatan dari Bandar Serenia ke Nilai Utara sekitar 9.25 pagi tadi.

Insiden itu mengakibatkan lorong kanan terhalang tetapi trafik terkawal tanpa kesesakan teruk.

Sekitar 11.07 pagi tadi, status terkini menunjukkan insiden itu selesai dan kenderaan terlibat kemalangan dialihkan sepenuhnya dan trafik kembali normal.

Aliran trafik di ELITE, BKE, Lekas, Jambatan Pulau Pinang dan LINKEDUA semuanya normal tanpa sebarang masalah.

Manakala aliran trafik di Gombak menuju ke Pantai Timur berhampiran Karak masih terkawal.

PLUS mengingatkan setiap pengguna lebuh raya supaya memastikan baki kad Touch ‘N Go masing masing mencukupi sebelum memulakan perjalanan untuk memasuki lebuhraya menuju ke Kampung Halaman untuk persiapan akhir Aidilfitri.

Bagaimanapun, PlUS melaporkan kerosakan lori di kilometer 235.7 arah selatan dari Changkat Jering ke Kuala Kangsar menyebabkan lorong kiri terhalang tetapi trafik masih terkawal.

Di samping itu polis trafik udara turut memantau aliran trafik di lebuhraya KLSeremban berhampiran Plaza Tol Sungai Besi ke arah selatan.

Helikopter PDRM melakukan rondakan sekitar 10.30 pagi tadi memantau pergerakan trafik di lebuh raya tersebut.

Situasi di lebuh raya KL-Karak berhampiran Tol Gombak terkawal.

Setakat 12 tengahari tadi rakaman kamera Litar Tertutup pemantauan trafik di lebuh raya Pantai Timur itu menunjukkan tol gombak trafik lancar di kedua dua hala berbanding Jumaat dan Sabtu semalam agak sesak.

Bagaimanapun tol berkenaan sesak dengan kenderaan menuju ke Karak sekitar 10.39 pagi tadi.-MalaysiaGazette