Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin (kanan) bersama Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Speedhome, Wong Whei Meng menunjukkan aplikasi Speedhome pada Majlis Pelancaran Speedhome di Ara Damansara, Petaling Jaya. foto FAREEZ FADZIL, 03 JUN 2019

PETALING JAYA – Bank tempatan kini mula ubah fikiran untuk terlibat dalam membangunkan rumah mampu milik seperti mana yang dihasratkan kerajaan.

Sebanyak 10 bank tempatan telah menunjukkan minat terhadap komitmen kerajaan mahu menyediakan 100,000 rumah mampu milik dalam masa lima tahun manakala sejuta untuk 10 tahun.

Perubahan ini kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mula dilihatnya selepas pulang daripada Beijing, menandatanganii memorandum persefahaman (MoU) dengan lapan syarikat China ketika menghadiri ‘Second Belt and Road Forum for International Cooperation’ (BRF Kedua) di Beijing, baru-baru ini.

“Jadi bila saya balik ada 10 bank tempatan datang jumpa untuk menawarkan kata mereka boleh buat rumah mampu milik seperti yang mahu dilakukan kerajaan.

“Saya sudah tentu bangga, ada lima bank yang mahu melakukan sesuatu termasuk skim sewa sehingga beli.

“Antaranya termasuklah Maybank, Alliance, Islamic Bank, Affin Bank,” katanya.

Zuraida tidak menafikan sebelum ini bank-bank tempatan ada bersikap skeptikal dan bimbang untuk menanggung risiko terhadap tumpuan yang ingin dibuat oleh kerajaan.

Namun dengan penggunaan teknologi yang ingin dipraktikkan akan memberi kelebihan dari segi penjimatan masa, nampaknya sedikit sebanyak mengubah fikiran para institusi kewangan dalam negara.

“Pada mulanya bank tempatan ini mereka agak skeptikal sebbab kriteria yang perlu dipatuhi mereka tidak mahu menanggung risiko

“Tetapi bila tahu kerajaan komited untuk bina 100,000 unit rumah mampu mili dalam masa beberapa tahun, masa yang singkat menunjukkan akan ada pembeli yang berpotensi dalam jangka masa itu. Jadi mereka boleh tawan pasaran perumahan mampu milik,” ujar Ahli parlimen Ampang itu.

Zuraida berkata demikian ketika ditemui pada pelancaran sebuah platform sewa rumah terbaharu yang dikenali sebagai SPEEDHOME hari ini.

SPEEDHOME yang menetapkan polisi ‘tiada deposit, tiada komisen’ itu kata lagi Zuraida dilihat boleh membantu rakyat untuk menyewa rumah dengan penjimatan sebelum mengumpul wang membeli kediaman sendiri. -MalaysiaGazette