Visa Amerika Syarikat

WASHINGTON- Amerika Syarikat kini meminta kepada hampir semua pemohon visa negara itu menghantar maklumat media sosial mereka selepas ia meningkatkan saringan keselamatan terhadap pendatang dan pengembara.

Maklumat tambahan itu termasuklah nama yang digunakan dalam media sosial, alamat emel dan nombor telefon yang digunakan sejak lima tahun lepas.

Pemohon juga perlu melaporkan status perjalanan antarabangsa dan deportasi dalam tempoh sama di samping menyatakan sama ada mempunyai ahli keluarga yang terlibat dalam aktiviti pengganas.

“Keselamatan negara merupakan keutamaan kami apabila meluluskan permohonan visa dan setiap pengembara dan pendatang berpotensi ke AS perlu melalui saringan keselamatan yang ketat.

“Kami sentiasa berusaha untuk mencari mekanisme-mekanisme memperbaiki proses saringan bagi melindungi rakyat AS dan dalam masa yang sama menyokong perjalanan sah ke AS,” kata Jabatan Negara AS.

Dasar baharu visa itu dicadangkan buat pertama kali pada Mac 2018 dan hanya berkuatkuasa selepas mendapat kelulusan dalam borang permohonan terkini.

Pengecualian hanya diberikan kepada permohonan visa diplomatik dan rasmi tertentu sahaja.

Dasar baharu visa itu secara amnya termaktub kepada semua pemohon sama ada pendatang atau bukan termasuklah untuk tujuan perniagaan atau pendidikan.

Jabatan Negara AS menganggarkan dasar terbaharu itu akan menjejaskan permohonan 710,000 permohonan visa pendatang dan 14 juta bukan pendatang setiap tahun.

Menurut Jabatan Negara, senarai media sosial termasuklah 20 platform seperti ASKfm, Douban, Facebook, Flickr, Google+, Instagram, LinkedIn, MySpace, Pinterest, Qzone, Reddit, Sina Weibo, Tencent Weibo, Tumblr, Twitter, Twoo, Vine, Vkontakte, Youku dan YouTube.

Senarai itu akan bertambah pada masa akan datang, katanya.- MalaysiaGazette