Pengerusi NFC Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail

KUALA LUMPUR- Pengerusi National Feedlot Corporation (NFC) Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail mempersoalkan tindakan Jabatan Peguam Negara yang memfailkan penyataan tuntutan terhadap tunggakan pinjaman syarikat tersebut.

Menurut Mohamad Salleh, NFC bersedia untuk membayar tunggakan pinjaman itu sepenuhnya secara “Full Redemption” dalam masa terdekat dengan persetujuan pihak kerajaan.

“Saya tertanya-tanya kenapa Peguam Negara mengambil tindakan tersebut terhadap saya sekeluarga walhal isu pembayaran balik pinjaman sepenuhnya kepada pihak Kerajaan telahpun dimaklumkan tujuh bulan lalu, semenjak bulan November 2018.

“NFC telah memulakan usaha pemulihan pembangunan dan proses penstrukturan semula syarikat.

“Ini termasuk mengadakan beberapa perbincangan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang pada dasarnya usaha ini disambut baik, sepertimana diumumkan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub.

“Surat tawaran pembayaran balik pinjaman sepenuhnya juga telah diutuskan kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, yang terkini pada 17 Mei lalu.

“Sehingga kini, pihak NFC belum mendapat apa-apa jawapan.

“Saya ingin mengambil peluang ini untuk menyatakan bahawa saya akan memberi kerjasama sepenuhnya mengikut proses perundangan negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Mohamad Salleh, beliau akan bekerjasama dengan pihak kerajaan sepenuhnya untuk memastikan isu tersebut dapat diselesaikan dengan cara terbaik.

“Lagipun, ini akan membantu dalam meringankan beban kewangan negara seperti yang disebut oleh pihak berkuasa. Apa-apa jua pun, saya akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak Kerajaan untuk memastikan isu ini diselesaikan secara terbaik.

“Saya yakin, di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir bin Mohamad, isu ini akan mencapai kata penyelesaian di mana pihak NFC akan membayar balik baki tertunggak pinjaman kepada pihak Kerajaan, dan aspirasi-aspirasi projek yang penuh dengan potensi ini akan dipenuhi.

Sebuah akhbar perniagaan melaporkan, Pejabat Peguam Negara telah memfailkan penyataan tuntutan terhadap NFC berhubung hutang sebanyak RM253.6 juta dengan kerajaan yang merangkumi faedah sebanyak dua peratus setahun dan faedah tunggakan ke atas hutang sebanyak RM224.77 jta.

Katanya, penyataan tuntutan itu telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.

Tuntutan dibuat kepad Mohamad Salleh bersama tiga anaknya dan enam lagi syarikat yang dimiliki oleh keluarga tersebut.

Menurut laporan berkenaan lagi, kerajaan berhasrat untuk mendapatkan deklarasi daripada mahkamah supaya keluarga Mohamad salleh secara peribadi bertanggung jawab untuk membayar hutang berjumlah RM118.04 juta yang telah disalah gunakan daripada pinjaman tadi serta keuntungan rahsia daripadanya.

Kerajaan juga menuntut hak terhadap hartanah-hartanah yang telah dibeli menggunakan pinjaman kerajaan sebanyak RM250 juta.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.