Datuk Seri Abdul Hamid Bador

GOMBAK – Pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk ketua-ketua polis daerah yang terlibat mengarahkan orang bawahannya mencari dana daripada syarikat dan individu tertentu untuk menganjurkan acara Hari Raya Aidilfitri akan ditukar serta-merta.

Perkara itu ditegaskan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador dan mengakui dirinya ada menerima maklumat berlaku perkara sedemikian dan pegawai terbabit telah dikenal pasti.

Beliau menerima rungutan terhadap pegawai atasan berkenaan yang masih melakukannya walaupun sudah diberi peringatan.

“Saya melarang sebarang penganjuran majlis yang menggunakan dana daripada luar, saya tidak mahu, saya tidak izinkan,” katanya kepada pemberita di Plaza Tol Gombak di sini hari ini.

Terdahulu, satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Hamid secara dalaman kepada seluruh warga PDRM tular menerusi aplikasi Whatsapp hingga mendapat reaksi pelbagai daripada ahli kumpulan-kumpulan laman sosial itu.

Berdasarkan maklumat yang tular, Hamid dilapor berkata, perkara yang paling menjengkelkan ialah apabila ada yang mendakwa kutipan tersebut akan diberikan kepada golongan asnaf.

Difahamkan, kenyataan Abdul Hamid itu susulan daripada ada unit dalam pasukan polis melakukan kutipan dana untuk pembiayaan kos jamuan hari raya pada Syawal nanti.

Mengulas lanjut Abdul Hamid berkata, polis bagaimanapun boleh menggunakan dana daripada kelab kakitangan polis atau sumbangan yang dikutip sesama sendiri bagi tujuan menganjurkan majlis hari raya.

“Tetapi kalau meminta daripada orang ramai, meminta daripada syarikat-syarikat dan individu-individu, saya tidak izinkan. Kalau kita tidak mampu, jangan kita buat. Orang ramai tidak rasa terkilan kalau polis tak buat rumah terbuka,” tegasnya.

Beliau kesal masih ada pegawai atasan yang degil dan menganggap bahawa penganjuran majlis di balai polis dengan makanan mewah dianggap oleh mereka sebagai suatu kejayaan.

“Tetapi yang memalukan duit ini datang daripada orang luar, yang memburukkannya lagi apabila ia datang daripada sumber-sumber yang tidak halal,” ujarnya.

Sebelum ini, Abdul Hamid telah memberi amaran kepada pegawai atasan PDRM untuk tidak mendesak anggota bawahan mencari tajaan dan sebagainya. – MalaysiaGazette