Datuk Iskandar Abdul Samad
Iskandar Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Menjelang Muktamar Tahunan Pas di Kuantan pada 21 hingga 23 Jun ini, Datuk Iskandar Abdul Samad mengingatkan semua calon agar tidak berlumba-lumba bagi mendapatkan kuasa.

Naib Presiden Pas itu berkata, pemilihan parti bukan sepertimana yang diamalkan oleh parti-parti lain yang kemaruk untuk merebut jawatan.

“Ianya bukan perlumbaan untuk mengejar jawatan tetapi perlumbaan untuk membuat kebajikan. Pemilihan berjalan dalam suasana harmoni dan tidak ada bermasam muka selepas keputusan diumumkan. Pimpinan dan ahli-ahli terus bekerja sebagai satu pasukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Iskandar berkata, ada percubaan untuk memecahbelahkan ahli menjelang pemilihan hujung bulan ini.

Katanya, ia dimulakan oleh media-media tertentu yang mahu melihat parti berpecah-belah menjelang pemilihan penting itu nanti.

Malah ia dilihat usaha kearah untuk menggagalkan kerjasama UMNO-Pas yang dilakukan secara berterusan.

“Terdapat media yang memberi gambaran seolah-olah ahli-ahli Pas berpuak-puak. Seolah-olah mereka fanatik menyokong pemimpin tertentu dan menolak pemimpin tertentu.

“Sebarang usaha untuk memecahbelahkan ahli-ahli Pas mungkin satu usaha untuk melemahkan pakatan pembangkang,” katanya lagi.

Ditanya samada beliau akan mempertahan jawatan pada pemilihan kali ini, Iskandar tidak mahu mendedahkannya kepada umum.

Bagaimanapun, salah seorang Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengesahkan akan mempertahankan jawatan itu pada pemilihan kali ini.

Muktamar ke 65 kali ini dihangatkan lagi dengan khabar angin bahawa terdapat dua pemimpin parti itu yang kini mengintai jawatan ketiga terpenting itu.

Antaranya Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohammad Abduh Nik Abdul Aziz. -MalaysiaGazette