Faiz Fadzil
Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Keberanian Mohamad Sabu berkomunikasi bahasa Inggeris dalam sesi dialog antarabangsa berkenaan isu keselamatan perlu dilihat daripada sudut positif.

Menurut Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil, apa yang dilakukan oleh Menteri Pertahanan itu menunjukkan Malaysia mempunyai pendirian tegas memerangi ancaman keganasan atau terrorism.

Kata beliau, walaupun penguasaan bahasa Inggeris penting sebagai medium komunikasi antarabangsa namun ianya bukan ukuran kompetensi dan kebijaksanaan seseorang pemimpin.

Katanya, ramai juga pemimpin utama negara lain masih mengekalkan bahasa ibunda masing-masing dalam dialog atau persidangan antarabangsa.

“Oleh itu, rakyat perlu menilai intipati asas ucapan Mohamad atau Mat Sabu, bukan kekhilafan yang langsung tidak mencacatkan substance ucapan beliau.

Jika didengar semula ucapan Mohamad, beliau merujuk Perdana Menteri New Zealand sebagai she namun di penghujung ayat menggunakan perkataan him yang tidak mengubah intipati  ucapannya.

Sudah tentu Mat Sabu tahu jantina Perdana Menteri itu itu adalah seorang wanita, katanya.

“Di samping itu, penggunaan perkataan mother dan father adalah merujuk kepada penaja pengganas yang merupakan terma biasa digunakan dalam counter-terrorism. Perkataan tersebut tidak seharusnya diterjemah secara literal,” katanya dalam kenyataan kepada media semalam.

Dalam pada itu, beliau menempelak kenyataan Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong terhadap Mat Sabu berhubung penguasaan bahasa Inggeris dalam dialognya di Singapura baru-baru ini.

Katanya, kenyataan Presiden MCA itu tidak lain sebagai cubaan mengalihkan perhatian rakyat terhadap skandal korupsi pemimpin kleptokrat Barisan Nasional (BN) yang berhadapan dengan berpuluh tuduhan di mahkamah.

Justeru, Faiz mahu rakyat positif untuk bersama kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang diangkat atas suara keramat mahukan perubahan dilakukan.

Perubahan asas yang sedang dilakukan kerajaan hari ini adalah memerangi rasuah dan korupsi dan usaha inilah yang menakutkan pemimpin BN.

“Korupsi dilakukan pemimpin BN adalah berskala besar yang melibatkan kehilangan wang berbilion ringgit seperti skandal 1MDB, Felda, Tabung Haji dan banyak lagi institusi dana awam lain.

“Skandal mega ini menyebabkan negara berhutang lebih RM1 trilion dan kerajaan PH dalam usaha mengurangkan hutang negara kepada 54 peratus bagi memulihkan ekonomi negara, dan seterusnya mengurangkan beban kos sara hidup.

“Jangan kita lupa kepada ucapan Peguam Negara Amerika Syarikat, Jeff Sessions bahawa “1MDB scandal is kleptocracy at its worst” yang menjadi mimpi ngeri kepada pemimpin BN yang sedang dibongkarkan pihak berkuasa,” ujar beliau. – MalaysiaGazette