Gambar hiasan

IPOH – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak akan mempertimbangkan cadangan untuk membuka laluan kecemasan di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan sekiranya ada keperluan.

Pengarahnya Severinus Tukah berkata, pihak PLUS Malaysia Berhad mencadangkan supaya laluan kecemasan dibuka di kawasan Slim River, namun perjalanan trafik di kawasan berkenaan masih lancar sehingga hari ini.

“Sejak 29 Mei lalu, kebanyakan laluan masih bergerak lancar, kita lihat sehingga 7 dan 8 Jun nanti kalau ada berlaku kesesakan di mana-mana kawasan, kita akan buka laluan kecemasan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada program ‘Moh Komer Bersama MB’, iaitu Program Sentuhan Menteri Besar dan JPJ Perak Bersama Pengguna Jalan Raya Sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2019 di Plaza Tol Ipoh Selatan di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Severinus berkata pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 1,099 notis dan saman hasil pemeriksaan ke atas 3,591 kenderaan yang diperiksa atas pelbagai kesalahan jalan raya sejak 29 Mei sehingga hari ini.

Sementara itu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menasihatkan orang ramai supaya memandu secara berhemah di jalan raya bagi memastikan perjalanan yang selamat untuk menyambut hari raya Aidilfitri.

Mengenai majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat negeri Perak esok, Ahmad Faizal berkata beliau menyasarkan seramai 48,000 akan hadir di perkarangan Stadium Indera Mulia di sini bermula 2.30 petang sehingga lewat petang esok.

Terdahulu, Ahmad Faizal dan Severinus menyampaikan risalah JPJ dan duit raya kepada anak-anak pengguna jalan raya yang melalui tol berkenaan. – BERNAMA