KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,150 lot parkir kenderaan disediakan untuk orang ramai yang ingin menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Kompleks Seri Perdana Presint 10, Putrajaya, esok.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata tempat parkir yang disediakan ialah di Kelab Tasik Putrajaya, kawasan luar Kompleks Seri Perdana dan Puspanitapuri yang merangkumi jalan masuk ke parkir gelanggang, parkir gelanggang, parkir lot hadapan serta parkir bawah tanah.

“Orang ramai juga boleh meletakkan kenderaan di tanah persendirian di Presint 10 meliputi kawasan padang di belakang kediaman Ketua Setiausaha Negara, padang sebelah kanan Puspanitapuri, padang di Jalan P10/4, padang di Jalan P10/7, bahu Jalan P10/8 dan sepanjang Persiaran Seri Perdana Presint 10,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata majlis akan bermula pada 10 pagi dan dijangka berakhir pada 4.30 petang esok.

Selain itu, Mazlan berkata orang ramai yang meletakkan kenderaan di kawasan parkir boleh menggunakan perkhidmatan bas yang disediakan bermula pada 9.30 pagi untuk ke lokasi majlis.

Beliau berkata terdapat tiga lokasi untuk mengambil dan menurunkan penumpang bagi perkhidmatan bas berkenaan iaitu di Putrajaya Central, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya merancang perjalanan esok untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas dan menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam memandangkan ruang parkir terhad,” katanya.

Mazlan berkata orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, arahan pegawai dan anggota polis bertugas serta menjaga keselamatan diri dan barang peribadi ketika berada di lokasi majlis yang sesak bagi mengelak kejadian jenayah seperti seluk saku.

Selain itu, orang ramai jugak dinasihatkan supaya tidak meninggalkan barangan berharga di dalam kenderaan dan memastikan kenderaan ditinggalkan dalam keadaan berkunci.

Beliau berkata sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya di talian 03-88862222.- BERNAMA