Melissa Sasidaran - Foto Twitter

KUALA LUMPUR – Peguam aktivis hak asasi manusia, Melissa Sasidaran dilantik sebagai Pengarah Lawyers for Liberty (LFL) baharu berkuatkuasa serta merta.

Penasihat LFL , Peguam N. Surendran dalam kenyataan, pelantikan bagi mengisi kekosongan berikutan pelantikan Latheefa Beebi Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baharu berkuatkuasa 1 Jun lalu.

Pelantikan Latheefa diumumkan Pejabat Perdana Menteri menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdul yang memohon perkhidmatan kontraknya dipendekkan lebih awal sebelum kontrak berakhir 17 Mei 2020.

Permohonan beliau diperkenankan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah hari ini.

“Merujuk kepada pelantikan Latheefa Beebi Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM 1 JUn 2019, dan pengumuman rasminya oleh kerajaan hari ini, kami mengucapkan tahniah kepada beliau dan merakamkan yang terbaik dalam memerangi gejala rasuah.

“Ekoran pengunduran beliau dari LFL untuk menyandang jawatan baharu itu, kami dengan bangganya ingin mengumumkan bahawa peguam hak asasi Manusia Melissa Sasidaran dilantik sebagai Pengarah baharu LFL,” kata Surendran.

Melissa menjadi ahli Majlis Peguam pada 2010 dan baru baru ini menamatkan ijazah sarjana undang-undang pengkhususan dalam Hak Asasi Manusia, Konflik dan Keadilan di University of London pada 2018. – MalaysiaGazette