Ringgit Malaysia (RM). foto FAREEZ FADZIL, 03 JANUARI 2019

KUALA LUMPUR – Ringgit meneruskan momentum menaik berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, disokong data eksport yang lebih baik daripada jangkaan.

Pada 9 pagi, ringgit mengukuh kepada 4.1750/1790 berbanding dolar AS daripada 4.1800/1840 penutup semalam.

Bank RHB dalam tinjauan ekonomi dikeluarkan hari ini berkata, eksport negara melonjak ke wilayah positif dengan berkembang pada kadar 1.1 peratus pada April selepas menguncup 0.5 peratus dan 5.3 peratus pada dua bulan sebelumnya.

“Eksport elektrik dan elektronik pulih kepada pertumbuhan sebanyak 3.9 peratus tahun ke tahun selepas jatuh 1.9 peratus pada Mac 2019,” katanya.

Peniaga lain berkata, data perdagangan yang dikeluarkan hari ini bersama-sama nada positif daripada Indeks Pengurus Pembelian Nikkei (PMI) memberi unit tempatan lonjakan, berikutan ia menunjukkan ekonomi Malaysia berkembang dengan pesat walaupun ketidakpastian global.

“Dengan harga minyak merosot di tengah kebimbangan ekonomi yang semakin meningkat, penting bagi sektor ekonomi lain untuk mengekalkan nilai ringgit,” katanya.

Pada 9 pagi, minyak mentah Brent didagangkan pada AS$61.99 setong, berbanding AS$71.18 satu tong dua minggu lalu.

Pasaran akan ditutup selama dua hari pada 5-6 Jun sempena Hari Raya Aidilfitri.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0539/0580 daripada 3.0489/0522 semalam, menyusut berbanding yen kepada 3.8682/8730 daripada 3.8575/8623 dan lebih lemah berbanding pound kepada 5.2881/2935 daripada 5.2839/2907.

Berbanding euro, unit tempatan merosot kepada 4.6969/7018 berbanding 4.6703/6752 semalam. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here