Video takbir di penjara menyentuh hati Alif Satar.

KUALA LUMPUR – Menjelang 1 Syawal, penyanyi, pelakon dan pengacara Alif Satar berkongsi momen paling sedih dalam kehidupannya yang dilalui sepanjang Ramadan lalu.

Menerusi Instagram miliknya, Alif memuat naik sedutan video rakaman takbir raya ketika kunjungannya ke Penjara Sungai Buloh, Selangor beberapa hari lalu.

Perkongsian Alif itu telah menjentik emosi yang sama dalam kalangan 2.3 juta pengikutnya di laman sosial itu.

Dalam sedutan video itu, air mata Alif bercucuran yang menggambarkan kesedihan artis berusia 28 tahun itu sukar dibendung.

Berdasarkan kapsyen dalam Instagram itu, Alif memberi gambaran kesedihannya terpaksa berpisah dengan bulan penuh kemuliaan, Ramadan yang menutup tirainya hari ini.

“Semoga kita bertemu Ramadhan lagi…” kata Alif sambil memberitahu pengikutnya rakaman penuh takbir berkenaan boleh ditonton di saluran YouTube peribadinya. – MalaysiaGazette