Luka Jovic. Foto SkySports

LONDON – Real Madrid terus agresif memperkuatkan pasukan menjelang musim baharu apabila berjaya membawa masuk pemain skuad kebangsaan Serbia, Luka Jovic.

The Guardian melaporkan, penyerang yang sebelum ini beraksi untuk Eintracht Frankfurt itu telah menandatangani kontrak selama enam tahun dengan perpindahan tersebut dilaporkan bernilai £60 juta.

Jovic menjadi buruan kelab gergasi bola sepak Eropah selepas  cemerlang mengemudi jentera serangan Frankfurt pada musim ini dengan menjaringkan 27 gol daripada 48 penampilan.

Dia juga menjadi penjaring kedua terbanyak dalam saingan Liga Europa dengan 10 gol yang menyaksikan penyerang Chelsea, Olivier Giroud menggunguli senarai dengan 11 gol.

Dalam kempen Liga Europa, perjuangan Eintracht Frankfurt terhenti di peringkat separuh akhir selepas tewas menerusi penentuan sepakan penalti ketika bertemu Chelsea.

Jovic berjaya menjaringkan gol pada aksi separuh akhir kedua di Stamford Bridge bagi memadam kelebihan dihasilkan Ruben Loftus-Cheek sekaligus perlawanan berlanjutan hingga ke sepakan penalti. – MalaysiaGazette