KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak perempuan melecur di muka dan beberapa bahagian badan, dipercayai akibat didera menggunakan sudu panas oleh bapa angkatnya, dalam kejadian di Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan dekat sini.

Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Ismadi Borhan berkata, mangsa berusia tujuh tahun yang tinggal bersama suspek, telah dipukul dan didera kira-kira 6 petang 30 Mei, selepas dituduh mencuri wang.

“Mangsa mengalami kecederaan melecur di kedua belah pipi, tangan, pinggang kanan serta kaki kiri akibat didera menggunakan sudu panas. Selepas didera, suspek memberikan minyak kepada mangsa dan melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismadi berkata, ibu angkat mangsa berusia 25 tahun, membuat laporan polis berhubung kejadian itu semalam, selepas beliau pulang bercuti dari India pada Ahad lepas.

“Beliau (ibu angkat) meninggalkan mangsa bersama anak lelakinya berusia sembilan tahun, kepada suspek sejak 24 Mei lepas.

“Suspek dan pengadu (isteri) telah berkahwin selama lima tahun dan mangsa merupakan anak angkat yang diambil secara sah sejak 2018,” katanya menambah mangsa kini berada di Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan.

Beliau berkata, usaha mengesan suspek berusia 48 tahun sedang dijalankan, dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001. – Bernama