Gambar yang dimuatnaik di Instargram Khabib

KUALA LUMPUR – Juara lightweight UFC, Khabib Nurmagomedov mengambil keberkatan penghujung Ramadan dan seterusnya menyambut kedatangan Syawal di tanah suci Mekah, Arab Saudi.

Menerusi laman Instagram miliknya, Khabib, 30,  dipercayai telah menunaikan ibadah umrah selepas memuat naik gambarnya yang lengkap berihram.

Bapa Khabib, Abdulmanap Nurmagomedov juga dilihat berada di sana bersama Khabib.

Selain Khabib dan bapanya, beberapa petarung seni bela diri campuran (MMA) dari Dagestan, Rusia turut berada Mekah ketika ini – antaranya Islam Makhachev, Zabit Magomedsharipov, Usman Nurmagomedov, Umar Nurmagomedov dan Tagir Ulanbekov.

Khabib sedang berehat dari sebarang aksi pertarungan selain digantung perlawanan susulan insiden pergaduhan yang berlaku di UFC 229.

Dia didenda sebanyak AS$500,000 (RM2,053,953) dan digantung perlawanan selama sembilan bulan, manakala pesaingnya Conor McGregor pula didenda AS$50,000 (RM205,355) dan digantung perlawanan enam bulan. – MalaysiaGazette