Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (tengah) ditemani isteri, Tun Siti Hasmah Mohamad Ali (kanan) bersalaman dengan orang ramai ketika hadir pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri 2019 di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 05 JUN 2019

 

PUTRAJAYA- “Saya yang lantik Latheefa Koya. Saya boleh buat keputusan sendiri tanpa kabinet.

“Saya kenal Latheefa. Beliau seorang yang sangat ‘straight’, cakap apa yang betul dan benar.

“Kita perlukan pemimpin seperti ini yang mempunyai perwatakan yang begitu kuat seperti ini,” kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata demikian ketika para pengamal media dalam dan luar negara meminta penjelasan tentang lantikan bekas pemimpin PKR merangkap aktivis, Latheefa Koya sebagai Pesuruhajaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkuatkuasa 1 Jun lepas.

Kata Tun Mahathir, beliau mengakui tidak mengadakan sebarang perbincangan dengan lantikan barisan kabinet sebaliknya hanya bercakap dengan beberapa induvidu yang mengenali Latheefa sebelum membuat analisa beliau sendiri tentang pelantikan tersebut.

“Saya tidak bincang dengan kabinet, saya biasa buat keputusan sendiri kerana tidak mahu terikat apatah lagi mendapatkan kebenaran siapakah yang perlu saya lantik,” tegasnya.

Ketika diminta apakah antara peranan yang akan dimainkan oleh Latheefa sehingga membolehkan dirinya dilantik ke jawatan itu, kata Tun Mahathir beliau akan ‘menyiasat’ pelbagai jenis kes penting serta utama selepas ini.

“Beliau akan siasat kes-kes rasuah dan lain-lain yang mungkin melanggar undang-undang. Beliau akan siasat dan laporkan kepada saya,” ujarnya pendek. -MalaysiaGazette