Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Penggunaan telefon bimbit secara meluas dalam kalangan masyarakat menjadi penyebab utama perkhidmatan telefon awam yang dikendalikan oleh syarikat milik kerajaan, Telekom Malaysia (TM) Berhad semakin pupus.

Malah, alat pengantara perhubungan yang satu ketika dahulu menjadi nadi utama kepada orang ramai untuk berkomunikasi hanya dipandang sebelah mata oleh masyarakat hari ini.

Seorang juruteknik TM, Aizan Mohd Salleh berkata, telefon awam kini tidak lagi popular serta penggunaannya juga tidak seperti di era 80an dan 90an.

Disebabkan itu kata beliau, TM tidak lagi memberikan fokus kepada perkhidmatan telefon awam kerana bukan sahaja kos penyelenggaraannya yang agak tinggi malah, dari segi operasi ia tidak berbaloi jika hendak dibandingkan dengan penggunaannya.

MGF30012019_TELEFON AWAM MASIH RELEVEN2 (1)
Telefon awam yang semakin tidak mendapat tempat dalam kalangan masyarakat. 

“Sekarang ini semua orang ada telefon bimbit sendiri. Buat apa nak guna telefon awam lagi.

“Kalau di kampung-kampung ia mungkin masih diperlukan tetapi tidak dibandar. Sebab itu TM tidak lagi memfokus kepada perkhidmatan telefon sebaliknya memberikan tumpuan kepada jaringan jalur lebar,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menurut Aizan, perkhidmatan telefon awam yang ada pada masa ini bukan diselia oleh TM sebaliknya, ia diurus oleh syarikat komunikasi lain.

Katanya, TM menyedari ada pondok telefon awamnya yang dirosakkan angkara perbuatan vandalisme oleh sesetengah pihak tidak bertanggungjawab namun, perkara itu tidak lagi diambil peduli.

MGF23012019_TELEFON AWAM MASIH RELEVEN -5

“Kita tahu ada telefon awam yang dah tumbang dan hancur dikerjakan oleh budak-budak nakal.

“Ada juga yang tak lagi berfungsi kerana tidak diselenggara oleh juruteknik sebagaimana dilakukan sekerap dahulu.

“Akibatnya, telefon awam ini hanya tinggal kenangan dan sejarah saja,” ujarnya.

Aizan tidak menafikan bahawa telefon awam ini memiliki nilai sentimentalnya yang tersendiri terutama bagi mereka yang sering menggunakannya satu ketika dahulu.

Namun katanya, peredaran masa mengubah segala yang dilalui dan perubahan itu lebih menjamin kelestarian hidup pada masa ini.

MGF25012019_TELEFON AWAM MASIH RELEVEN8“Sekarang ini semua benda mudah, nak berhubung telefon bimbit ada di tangan dan boleh di bawa ke mana-mana.

“Pengguna juga tak perlu beratkan kocek mereka untuk bawa duit syiling hanya semata-mata nak membuat satu pangggilan.

“Jadi bagi kami, jika TM mahu kembalikan kegemilangan tidak ada masalah, asalkan orang ramai tahu untuk menghargainya,” tambahnya.

Meskipun begitu, Aizan mengakui telefon awam ini masih lagi relevan untuk disediakan oleh penyedia perkhidmatan kerana ia pasti akan diperlukan pada masa-masa tertentu.

Ujarnya, walaupun tidak lagi popular dalam kehidupan masyarakat pada hari ini tetapi, sekurang-kurangnya biarlah ada untuk kegunaan disaat kecemasan. – MalaysiaGazette