Salih Yaakob (kanan) dan Adifashla merupakan pasangan penyampai Sinar FM setiap petang.

KUALA LUMPUR – Selepas 13 tahun bersama Sinar FM, Salih Yaacob  akhirnya menamatkan tugasnya di stesen radio kelmarin.

Salih yang bakal berusia 58 tahun pada November ini mengucapkan selamat tinggal selepas kontraknya sebagai penyampai berakhir.

Katanya yang juga pelakon dan pelawak, pengalaman bersama Sinar FM cukup memberi kepuasan kepadanya.

Menurut Salih atau lebih mesra dengan panggilan Abang SY, dia mahu memberi tumpuan pada kehidupan peribadinya.

Salih berkata, segala perancangan kerjaya dan kehidupannya sudah diatur dengan baik oleh Allah selepas 38 tahun bercimpung dalam dunia hiburan.

Pada masa sama, Salih berkata, beliau gembira dapat menamatkan kerjaya sebagai penyampai radio dengan Sinar FM dengan cara yang baik.

Katanya, ada baiknya juga mengundur diri pada saat ini memandangkan perkembangan radio sejak kebelakangan ini memerlukan sumbangan dan kreativiti generasi muda.

Selain Salih, rakan penyampai personaliti itu, Adi Fashla Juraimi juga akan mengucapkan selamat tinggal pada Sinar FM menjelang hujung bulan ini.

Kontrak Adi juga tidak akan disambung sebagai penyampai stesen yang terkenal dengan lagu-lagu retro itu.

Salih dan Adi merupakan pasangan penyampai radio Sinar FM yang sentiasa menceriakan pendengar mereka pada setiap petang. – MalaysiaGazette