Ramkarpal Singh
Ramkarpal Singh

KUALA LUMPUR – Pemimpin DAP kini tampil menyoal apakah yang telah terjadi dengan janji manifesto sebelum Pilihan Raya Umum (PRU-14) yang menggariskan tentang kepentingan semak dan imbang khasnya dalam pelantikan politik.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh melahirkan rasa bimbang beliau bagaimana perdana menteri megambil kuasa dalam tangannya untuk melantik Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tanpa berbincang terlebih dahulu dengan Kabinet.

Soal Ramkarpal dalam kenyataan hari ini, apakah yang telah terjadi dengan keseluruhan janji manifesto dalam memastikan wujudnya semak dan imbang khasnya pelantikan sebegini yang memerlukan jawatankuasa khas Parlimen.

Juga beliau menyoal tentang janji PH untuk mengekang kuasa budi bicara perdana menteri yang luas.

“Pengakuan oleh Tun Dr Mahathir yang melantik Latheefa secara sendirian tanpa perbincangan daripada barisan Kabinet adalah sesuatu yang kita perlu bimbangi sebenarnya.

“Kenyataan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong lantikan ini berlandaskan undang-undang juga menimbulkan persoalan pokok tentang janji yang dibuat dalam manifesto tentang kuasa Perdana Menteri.

“Apa yang termaktub dalam janji manifesto PH  adalah memastikan semak dan imbang serta ketelusan dalam perlantikan sebegini dengan menubuhkan Jawatankuasa Khas Parlimen berkait dengan lantikan utama perkhidmatan awam.

“Objektif serta tujuan utama penubuhan jawatkuasa ini adalah sia-sia seandainya pelantikan dilakukan oleh satu ‘pihak’ sahaja tanpa sebarang rundingan daripada kabinet sekalipun,” tegasnya.

Kata Ramkarpal lagi, keupayaan untuk melakukan lantikan secara sendirian bermakna pemecatan juga boleh dilakukan hanya oleh satu pihak pada bila-bila masa tanpa sebarang rundingan.

“Selalunya rundingan itu dilakukan khasnya dengan Kabinet kerana mahu mengelakan persepsi yang sebaliknya tentang lantikan atau pemecatan.

“Pelantikan secara satu pihak seperti ini bukan sebahagian daripada demokrasi yang sihat malah tidak sepatutnya berlaku tanpa mengira kualiti atau sebaliknya yang dilantik,” jelasnya.

Semalam, Tun Mahathir berkata pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu dibuat atas keputusannya sendiri.

Malah Tun Mahathir akui pelantikan berkenaan tidak dibincangkan dengan anggota Kabinet.

“Saya tidak berbincang dengan Kabinet. Biasanya saya membuat keputusan sendiri kerana saya tidak perlu bertanya kepada Kabinet mengenai siapa yang saya pilih,” katanya semalam. –MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/06/05/saya-yang-lantik-latheefa-tun-m/