TEL AVIV – Mengejutkan namun Peguam Negara Israel telah menolak permohonan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu untuk menangguhkan perbicaraan mahkamah berhubung dakwaan rasuah terhadapnya semalam.

Rata-rata akhbar tempatan memaparkan berita itu di muka hadapan dengan orang ramai memberikan pelbagai reaksi dan analisa masing-masing.

Agensi melaporkan, Pejabat Pendakwa Raya dalam kenyataan memberitahu, Netanyahu memohon penangguhan pendengaran kerana pembubaran Knesset dan pilihan raya pada 17 September kepada tarikh selepas pengundian.

Kata Pejabat Pendakwa Raya, setelah meneliti permohonan tersebut akhirnya mereka memutuskan adalah tidak wajar untuk mempertimbangkan cadangan menukar tarikh yang telah ditetapkan sebelum ini.

Pejabat itu melalui Peguam Negara, Avichai Mandelblit menegaskan, pendengaran yang dijadualkan pada 2 dan 3 Oktober ini tidak akan sesekali ditangguhkan walaupun sehari.

Netanyahu sebelum ini membuat gesaan pilihan raya baharu akhir bulan lalu selepas gagal membentuk gabungan.

Israel akan menghadapi pilihan raya pada September iaitu lima bulan selepas pilihan raya pada April yang menyaksikan Netanyahu memenanginya.

Netanyahu walaupun berde­pan tuduhan rasuah, penipu­an dan pecah amanah disahkan menang selepas pencabar utamanya, Benny Gantz menga­ku kalah April lepas.

Netanyahu sebelum ini didakwa telah me­nerima antaranya cerut, minuman keras dan barangan kemas yang membabitkan tuduhan salah laku pemimpin terbabit dan beberapa anggota keluarganya.

Pertuduhan itu adalah yang paling serius dalam sejarah pentadbiran Netanyahu hampir sedekad, namun dakwaan terbabit merupakan susulan daripada beberapa siri cerita yang membabitkan beliau dan keluarganya.

Antara kes membabitkan anjing milik keluarga Perdana Menteri itu menggigit seorang anggota Parlimen, dakwaan isteri Netanyahu memalsukan perbelanjaan mengemas dan membersih rumah selain rakaman yang menunjukkan anak sulung pe­mimpin itu mabuk di luar sebuah kelab tarian bogel.

Netanyahu yang berulang kali mengaku tidak bersalah mene­gaskan, perhatian yang diberikan terhadap keluarganya adalah tidak adil dan menyifatkan kebanyakan cerita yang disebarkan itu adalah usaha untuk menjatuhkannya. – MalaysiaGazette