Raj Munni Sabu
Raj Munni Sabu

Oleh: Senator Raj Munni Sabu@Aiman Atirah Al Jundi

KRITIKAN utama kita berhubung pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu sebenarnya bukan pada siapa personaliti yang dilantik, tetapi sama ada proses pelantikannya dilakukan sebaiknya mengambilkira prinsip dan gagasan Malaysia Baharu yang kita semua siap serta bermotivasi menggerakkannya.

Letak jawatan dan keluar dari menjadi ahli mana-mana parti politik tertentu; atau suka dan benci kepada kumpulan mana, pada saya itu bukan isu sebenar.

Isu paling pokok ialah bagaimana Pakatan Harapa” (PH) melalui keputusan ini telah seolah dengan sengajanya “menghantar mesej yang salah” bahawa apa jua manifesto mereka semasa PRU14 itu boleh saja diketepikan, sekalipun tidak melibatkan faktor kewangan yang memerlukan masa untuk ditunaikan.

Kedua, ia satu “precedent” yang sangat tidak baik untuk Malaysia Baharu, iaitu bilamana kerajaan wewenangan boleh melantik anggota Majlis Pimpinan Tertinggi sebuah parti dalam komponennya untuk menjawat posisi utama dalam sebuah institusi penguatkuasa seperti SPRM.

Ketiga, yang lebih malang, apabila ia jelas merupakan satu pelanggaran yang paling ketara dalam manifesto dan prinsip segar Malaysia Baharu yang diperjuangkan sekian lama oleh PH.

Apabila PH berjanji dalam manifesto PRU14 untuk “mengembalikan proses pelantikan” Ketua Pesurujaya SPRM kepada rakyat, apa yang sebenarnya dimaksudkan adalah untuk melepaskan beberapa kuasa pembuat keputusan daripada Perdana Menteri.

Menjadi amalan Malaysia Dahulu, PM (Najib) hanya memecat pegawai-pegawai SPRM yang tidak menguntungkannya dan melantik seorang ketua yang tidak akan membuka siasatan terhadapnya.

Lantas PH menganggap bahawa ini telah mengakibatkan wujud satu keadaan di mana kebebasan institusi ini telah dikompromikan secara menyeluruh atas kepentingan pihak yang melantik seseorang itu ke satu jawatan utama penguatkuasaan undang-undang yang sewajarnya menjalankan amanah “without fear and favour”.

Justeru, penyelesaiannya sebagaimana yang dicadangkan oleh PH adalah untuk memastikan pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM bukan lagi menjadi hak prerogatif seorang Perdana Menteri.

Sebaliknya, memasukkan Jawatankuasa Pilihan Parlimen dalam proses pelantikan supaya suara rakyat – melalui wakil mereka yang dipilih – boleh didengar, sekali gus diambilkira dalam proses demokrasi serta konsultasi yang jelas.

Sudah tentu, pendapat Jawatankuasa Pilihan Parlimen buat masa ini belum mempunyai kesan undang-undang terhadap pelantikan tersebut kerana masih belum ada peruntukan perlembagaan yang memerlukan ianya dibuat melalui pendapat Parlimen.

Akan tetapi, bukankah kita semua jelas mengetahui bahawa PH sedang mengejar prinsip akauntabilitas yang lebih tinggi; iaitu tidak ada lagi kuasa mutlak yang hanya berpusat di tangan tunggal seorang Perdana Menteri.

Jika Ketua Pesuruhjaya SPRM tidak sepenuhnya bebas daripada orang yang melantiknya, maka tiada siapa yang boleh menafikan bahawa sistem itu hakikatnya tidak berfungsi dengan baik.

Prinsip tidak sewajarnya boleh disenyapkan hanya kerana kita meyakini seseorang itu baik atau berupaya membuat keputusan sendiri atau yang dilantik itu adalah orang yang tepat.

Budaya boleh untuk aku dan tidak boleh jika untuk engkau, seharusnya tidak menghantui pentadbiran Malaysia Baharu yang menjanjikan perubahan sistem dan reformasi institusi demi melahirkan sebuah negara madani dan rahmah.

Kita mesti melindungi prinsip kebertanggungjawaban sebelum babak stereotaip politik lama sepertimana Najib yang melantik Ketua-ketua SPRM kembali hadir menghantui kita.

Kegagalan memastikan prinsip penting ini dilaksanakan secara tuntas dan tertib sewajarnya dilihat sebagai satu daripada kecuaian dan salahguna kuasa seseorang individu yang diberikan amanah serta kepercayaan oleh parti, penyokong dan seterusnya rakyat jelata.

Sepatutnya itulah cara kita mula membudayakan prinsip dan amalan akauntabiliti (kebertangungjawaban) dalam pentadbiran negara. Itu jugalah cara kita memastikan setiap institusi awam terpenting negara dapat berperanan bebas dan berkesan.

Fahami kekecewaan Ahli dan Pengundi

Sangat mengecewakan ketika mana PH tidak menghormati janji dan prinsipnya sendiri, khususnya pada perkara yang hanya memerlukan “keinginan politik” bagi menjayakannya.

Manifesto ini berbeza dengan beberapa manifesto yang terlebih dahulu memerlukan fasa pemulihan ekonomi negara untuk membolehkan pelaksanaannya.

Perlu juga kita saling mengingatkan mereka yang mengaku tidak ada perundingan kabinet mengenai pelantikan, tetapi dengan segera menutup rasa terkejut mereka dengan cuba mengalihkan topik kepada kelayakan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu.

Tidakkah usaha penyimpangan isu tersebut hanyalah menzahirkan percubaan merendahkan intelektualiti ahli, penyokong dan rakyat yang telah memberikan pentadbiran baharu ini sepenuh harapan dan kepercayaan? Boleh bayangkan jika sebaliknya berlaku?

Saya, malah mula terdetik, apakah ada percubaan yang sengaja untuk melemahkan prinsip akauntabiliti atau janji manifesto PH, sekali gus memandang pelbagai prinsip baik yang telah diperjuangkan bersama selama ini sebagai tidak lagi menjadi perkara utama dan pertama yang seharusnya menjadi pertimbangan dalam membuat keputusan? Saya sangat berharap saya silap.

Justeru, sekiranya polemik pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM ini dibiarkan terus berlaku tanpa rasa tanggungjawab dan keberanian untuk sekurang-kurangnya menegur dan usaha memperbetulkan prosesnya, saya malah percaya bahawa kita sebenarnya hanya mengulangi sejarah Malaysia dahulu yang berakhir dengan salahguna kuasa, urustadbir yang pincang dan penolakan serta cemuhan kalangan rakyat.

Perlu terus diingati bahawa usaha kita dalam PRU14 yang lepas adalah solid, bukan hanya berniat untuk menggantikan Najib, tetapi yang lebih utama adalah untuk “membina semula negara” ini.

Janganlah hendaknya kita memilih untuk berdiam dan mengambil mudah akan semua ini sehingga kelak ada kalangan penyokong dan pendokong kita sendiri mula merasakan adakah mereka terlalu naif untuk mempercayai bahawa hasrat murni itu benar-benar akan dicapai bersama dengan PH.

Proses pembuatan keputusan secara konsensus tidak wajar difahami sebagai “pembatasan” tindakan dan kebijaksanaan seorang pemimpin.

Apabila Perdana Menteri ditanya sama ada beliau berunding dengan kabinet mengenai pelantikan SPRM, Tun bukan sahaja menyatakan tiada perundingan dan itu adalah keputusan beliau sendiri, malah turut menegaskan dia tidak mahu ‘dibatasi’ oleh pendapat kabinet.

Beliau juga berkata, dia biasanya membuat banyak keputusan sendiri kerana tidak perlu meminta pandangan kabinet mengenai apa yang perlu dilakukan dan siapa yang hendak meluluskannya.

Pada saya, pendirian ini mungkin ada keperluannya pada beberapa perkara, tetapi bukan untuk semua perkara khususnya untuk hal sepenting dan menjadi tumpuan serta harapan kebanyakan rakyat seperti pelantikan KP SPRM ini.

Apatah lagi ia merupakan salah satu daripada tunjang utama yang digariskan dalam gagasan Reformasi Institusi.

Seluruh perkara merujuk kepada Kabinet atau Jawatankuasa Pilihan Parlimen adalah bagi memastikan tidak ada kuasa mutlak berada di tangan seorang Perdana Menteri. Lebih lagi tanpa proses konsultasi.

‘Pembatasan’ yang disebut oleh Perdana Menteri sebenarnya bukanlah pembatasan, tetapi sewajarnya difahami lebih kepada “tanggungjawab bersama” pasukan anggota pentadbiran.

Menjadi harapan kita agar Malaysia mempunyai sebuah Pasukan Kabinet yang boleh dipertanggungjawabkan dan mengambil sikap tanggungjawab bersama secara sedar dan siap untuk dipersoalkan jika berlaku kegagalan.

Sejujurnya pada saya, ini adalah minimum yang ramai harapkan berlaku dalam proses pelantikan tersebut untuk melindungi integriti dan keberkesanan institusi.

Ia juga tuntutan paling minimum kebanyakan pengundi bagi mengekalkan dorongan demokratik mereka dalam memastikan wujud sebuah pentadbiran terbaik untuk Malaysia.

Antara hujah kita kepada khalayak penyokong dan pengundi pada awal menerima Tun sebagai Pengerusi PH dan PM ke-7 adalah Tun akan dibantu, dinasihat dan diingatkan oleh sekurang-kurangnya Majlis Presiden Pakatan Harapan. Tun tidak akan dibiar mengulangi apa yang menjadi amalan BN sebelum ini, PM buat keputusan dan semua akan tunduk akur.

Adakah konsultasi sebegini terlalu berat untuk dilaksanakan dalam era langit terbuka dan kebijaksanaan yang bukan lagi menjadi hak segelintir pihak khususnya kelompok elit.

Sangat perlu untuk kita terus memastikan wujud pihak bebas yang akan terus menjaga sempadan demokrasi dengan berani, kerana manifesto PH tetap selamanya segar dalam ingatan dan komitmen kita.

Tiada siapa yang menafikan Tun adalah individu pimpinan yang paling berpengalaman, dan beliau adalah yang terbaik untuk memberikan nasihat serta pandangan.

Tetapi, itu sama sekali tidak menghapuskan keperluan terhadap proses konsultasi. Proses itu sendiri akan menjadi nilai tambah yang bukan sedikit kepada keputusan bersama yang akan dicapai akhirnya nanti.

Adalah amat malang jika dari semasa ke semasa, kita seolah mangli dan sengaja melalaikan diri dengan budaya pengambilan keputusan sendiri hanya kerana percaya seseorang itu lebih tahu dan bijak. Hakikatnya ia sudah kita lalui dan mengulanginya adalah satu kedunguan yang disengajakan.

Sehubungan itu, dengan penuh harapan, rasa kerdil dan rendah diri saya sebagai salah seorang anggota dalam PH ini, sekaligus untuk kepentingan negara; mohon mencadangkan agar Majlis Presiden Pakatan Harapan segera bersidang membantu kita merundingkan semula hal ini.

Sekali gus memberi nasihat yang tepat dan baik kepada pemimpin PH dalam anggota pentadbiran kerajaan.

Jujurlah, Malaysia Baharu tidak wajar dipandu sama sepertimana Malaysia yang dahulunya. – MalaysiaGazette

*Senator Raj Munni Sabu adalah Ahli Dewan Negara dan Ketua Penerangan Wanita Pakatan Harapan Malaysia