Latheefa Koya

KUALA LUMPUR – Latheefa Koya yang baharu dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikhuatiri gagal bertindak adil dan mengarahkan siasatan hanya kepada parti pembangkang sahaja berdasarkan pendirian politiknya sebelum ini.

Kebimbangan itu disuarakan Ahli Parlimen Jelebu Datuk Jalaluddin Alias ini kerana Latheefa bukan sahaja bergiat aktif dalam politik malah sebelum ini memegang jawatan penting dalam PKR.

“Sungguhpun Latheefa telah membuat kenyataan beliau telah meninggalkan PKR namun saya bimbang beliau tidak boleh melaksanakan tugas dengan bebas dan profesional.

“Saya juga bimbang Latheefa akan bertindak berat sebelah dan hanya akan mengarahkan siasatan terhadap pihak pembangkang kerana berbeza fahaman politik,” katanya menerusi kenyataan.

Justeru kerajaan digesa untuk mengubah keputusan melantik bekas Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR itu sebagai Ketua Pengarah SPRM.

“Saya menuntut kerajaan mempertimbangkan semula lantikan ini dan pelantikan perlulah dibuat terhadap orang yang tidak mempunyai latar belakang politik dan berwibawa tinggi.

“Jangan cemari institusi yang seharusnya bebas dari pengaruh politik,” tambahnya.

Pejabat Perdana Menteri baru-baru ini mengeluarkan kenyataan mengumumkan pelantikan Latheefa menerajui agensi siasatan rasuah itu menggantikan Datuk Shukri Abdull.

Ketika diminta mengulas perkembangan tersebut, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui beliau melantik Latheefa tanpa membincangkan perkara tersebut dalam Kabinet dan hanya merujuk kepada beberapa individu sahaja. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast