KUALA LUMPUR – Bekas wartawan penyiaran TV3, Azrinaz Mazhar Hakim mengumumkan dia kini hamil enam bulan.

Azrinaz yang juga bekas isteri kepada Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah bakal menimang cahaya mata ketiga sekitar awal Oktober ini.

Berita gembira itu dikongsi Azrinaz di laman Instagram peribadinya sebentar tadi.

Ini merupakan kehamilan pertama buat Azrinaz hasil pernikahannya dengan Fairos Khan Abdul Hamid pada 1 Mei tahun lalu.

Wanita yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-40 pada September ini memiliki sepasang cahaya mata, Pengiran Muda Abdul Wakeel, 13, dan Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah, 11, hasil perkahwinan dengan Sultan Brunei.

“Setinggi-tinggi syukur, saya telahpun melepasi trimester kedua. Berkat doa ibu bapa, sahabat handai serta kalian semua yang amat saya kasihi… Allah memberikan saya peluang sekali lagi untuk mempunyai zuriat, buat kali ketiga,” kata Azrinaz dalam entrinya itu.

Azrinaz turut melahirkan rasa syukur kerana kehamilan ketiga itu tanpa menggunakan bantuan teknologi moden.

“Namun saya akui, untuk berbadan dua pada usia yang bukan lagi remaja, tidaklah semudah 11 tahun yang lalu.

“Diharapkan semoga kandungan yang berusia enam bulan ini akan terus dititipkan dalam setiap doa kalian agar bayi ini dilahirkan sempurna, cukup sifat, sihat dan secara normal tanpa sebarang komplikasi,” kata Azrinaz sambil mengungkapkan kesyukuran pada Allah yang mengurniakan rezeki cahaya mata buat dia dan Fairos. – MalaysiaGazette