Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima pelbagai reaksi dan rata-rata tidak bersetuju dengan keputusan ‘bersendirian’ perdana menteri tanpa merujuk kepada Kabinet dan Jawatankuasa Khas Parlimen.

Yang membantah termasuk beberapa pemimpin dan perkembangan tersebut menarik perhatian Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Bercakap kepada pemberita di Terengganu, Abdul Hadi melahirkan rasa hairan terhadap pemimpin-pemimpin PRK yang beliau lihat sedang ‘kepanasan’ berikutan keputusan Tun Dr Mahathir Mohamad memilih Latheefa.

Sinar Harian melaporkan Presiden Pas itu berkata, tindakan segelintir kepimpinan Pakatan Harapan (PH) yang tidak bersetuju dengan keputusan intu meninggalkan tanda tanya.

“Selaku Perdana Menteri, beliau (Tun Dr Mahathir Mohamad) mempunyai hak untuk melantik mana-mana individu memegang jawatan itu.

“Terpulang kepada Perdana Menteri untuk lantik siapa yang dia nak, kalau kepimpinan PH boleh pilih dia (Dr Mahathir) jadi Perdana Menteri, mengapa tak boleh setuju apabila dia pilih Latheefa?

“Apa yang penting beliau (Latheefa) perlu buktikan kemampuannya setelah melaksanakan tugas yang dipertanggungjawab nanti,” katanya selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Anak Terengganu di Perantauan 2019 di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini malam tadi.

Dalam pada itu, Abdul Hadi ketika diminta mengulas mengenai pendirian Pas terhadap pelantikan itu, katanya, mereka sebulat suara menyokong kenyataan yang telah dibuat oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan sebelum ini.

“Setiausaha Agung Pas dah buat kenyataan dan itulah kenyataan kita,” katanya.

Terdahulu, Takiyuddin menerusi satu kenyataan mengalu-alukan pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu bagi tempoh kontrak selama dua tahun berkuat kuasa pada 1 Jun lalu.

Katanya, Pas yakin Latheefa adalah individu yang layak dan sesuai menjawat jawatan itu.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, kerajaan di bawah pimpinan Pas iaitu Kelantan dan Terengganu terbuka untuk disiasat SPRM.

“Pas tidak terlibat dengan sebarang perkara, dan kita terbuka sebagaimana saya pernah nyatakan dahulu di mana kerajaan kita di Kelantan dan di Terengganu terbuka untuk SPRM siasat supaya berjaya mencapai objektif sebuah kerajaan yang bersih,” katanya.