GOA – Lapangan terbang di Goa, India ditutup hari ini apabila anggota bomba cuba memadamkan kebakaran setelah tangki minyak sebuah pesawat pejuang, MiG-29K milik tentera laut tertanggal ketika pesawat tersebut berlepas.

Sebahagian daripada landasan terbakar pada kejadian jam 2 petang waktu tempatan, lapor RT.

Menurut jurucakap lapangan terbang itu, anggota tentera laut dikerahkan ke lapangan terbang yang digunakan oleh pesawat awam dan tentera untuk ‘membersihkan bahan bakar dan melakukan kerja-kerja pembaikan di sepanjang landasan’.

“Ia merupakan tangki bahan bakar luaran pada pesawat bagi membolehkan pesawat terbang lebih jauh. Salah satu tangki pada pesawat MiG-29K tertanggal semasa berlepas dan mendarat di landasan,” kata jurucakap itu.

Tentera laut menyiarkan gambar asap tebal akibat kebakaran di landasan. – Agensi