BRUSSELS – Belgium menunjukkan aksi cemerlang apabila berjaya mencapai kemenangan 3-0 ke atas Kazakhstan untuk mengekalkan permulaan kempen kelayakan Euro 2020 bagi menerajui Kumpulan 1.

Belgium kini mengumpul sembilan mata daripada tiga perlawanan, mengatasi Russia dan Scotland yang masing-masing mengumpul enam mata.

Gol-gol awal jaringan Dries Mertens dan Timothy Castagne meletakkan Belgium 2-0 di depan selepas 15 minit permainan dan Romelu Lukaku melengkapkan kemenangan dengan gol ketiga lima minit selepas rehat.

Harapan Scotland untuk mengubah nasib di bawah pengendali baharu Steve Clarke hampir musnah selepas Cyprus menyamakan kedudukan di Hampden Park di Glasgow, tetapi Oliver Burke meledak gol kemenangan pada saat akhir untuk keputusan 2-1.

Scotland mendahului permainan menerusi Andy Robertson tetapi Cyprus memadamkan kelebihan tuan rumah pada minit ke-87 menerusi Ioannis Kousoulos, sebelum tandukan Burke menyelamatkan tuan rumah.

Terdahulu, Russia merekodkan kemenangan terbesar selepas pemainnya Artem Dzyuba meledak empat gol ketika membelasah San Marino 9-0 di Saransk, salah satu venue final Piala Dunia tahun lalu.

Russia mendahului 4-0 pada babak pertama dengan dua gol sendiri oleh pemain 20 tahun Michele Cevoli, dan jaringan penalti Dzyuba serta Fyodor Kudryashov.

Di babak kedua Dzyuba menambah tiga gol dan Fyodor Smolov menyumbang dua gol.

Kazakhstan akan melayan kunjungan San Marino Selasa ini, Scotland bertandang ke Belgium dan Cyprus beraksi di laman Russia.

Sementara itu, dalam perlawanan di Turki yang turut berlangsung awal pagi tadi, Juara dunia Perancis tewas 2-0 kepada Turki.

Kaan Ayhan menanduk masuk gol pembukaan Turki pada minit ke-30 dan Cengiz Under menambah jaringan sebelum rehat untuk memberikan kemenangan pertama tuan rumah ke atas Perancis.

Didier Deschamps menurunkan sembilan pemain yang mengisi kesebelasan utama skuad final Piala Dunia tahun lalu tetapi Perancis bergelut untuk mencipta peluang, manakala Hugo Lloris beberapa kali menyelamatkan gawang daripada ancaman Turki.

Kemenangan meletakkan Turki tiga mata mengatasi Perancis di puncak Kumpulan H selepas skuad kendalian Senol Gunes memenangi ketiga-tiga perlawanan setakat ini.

Pasukan itu akan meneruskan kempen bertemu Iceland pada Selasa ini manakala Perancis akan bertandang ke Andorra.

Berikut keputusan kelayakan Euro 2020:-

Kumpulan C

Estonia 1 – 2 Ireland Utara

Belarus 0 – 2 Jerman

Kumpulan E

Croatia 2 – 1 Wales

Azerbaijan 1 – 3 Hungary

Kumpulan H

Iceland 1 – 0 Albania

Turki 2 – 0 Perancis

Moldova 1 – 0 Andorra

Kumpulan I

Russia 9 – 0 San Marino

Belgium 3 – 0 Kazakhstan

Scotland 2 – 1 Cyprus

Kumpulan J

Finland 2 – 0 Bosnia-Herzegovina

Armenia 3 – 0 Liechtenstein

Greece 0 – 3 Itali

– MalaysiaGazette