Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggariskan lima pelan holistik pelaksanaan berkaitan operasi penguatkuasaan membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) di seluruh negara.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelan holistik penguatkuasaan PATI itu akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun.

Menurutnya, ia merupakan strategi penguatkuasaan yang komprehensif untuk mengatasi permasalahan kebanjiran PATI di negara ini dengan melibatkan kerjasama secara strategik di antara pelbagai kementerian dan agensi.

Malah katanya, langkah tersebut turut melibatkan peranan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bersama-sama membantu secara aktif dalam membanteras PATI.

“Kementerian sedar senario kebanjiran PATI di Malaysia masih menjadi isu
nasional yang belum dapat diatasi secara holistik.

“Masalah ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat kerana ia bukan sahaja menyentuh aspek keselamatan negara dan keselamatan persempadanan, tetapi turut memberi impak yang cukup besar terhadap kestabilan politik dan juga pertumbuhan ekonomi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Muhyiddin menambah, pelan strategik penguatkuasaan PATI itu diwujudkan secara lebih komprehensif dan menyeluruh sebagai satu langkah memperkukuh tadbir urus
dan menambahbaik sistem kerja penguatkuasaan sedia ada.

Tambah beliau, objektif pelan itu juga adalah bagi mewujudkan satu ekosistem yang tidak selesa kepada PATI dalam meneruskan kehidupan seharian mereka melalui pendekatan mendaya upaya agensi penguatkuasa dan kawal selia sedia ada termasuk meningkatkan kerjasama strategik dan kesedaran masyarakat setempat. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.